Ahli PAS wajib aplikasi silibus tarbiah

KUALA NERUS: Tugas ulamak ialah mentarbiah ahli, rakyat dan masyarakat dengan Islam melalui kefahaman sebenar sekali gus mengekang dari fahaman asing menular dalam minda.

Advertisement

Peringatan tersebut dinyatakan oleh wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Zulkarnain Hassan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pagi tadi dengan menekankan bahawa ulamak adalah pewaris Nabi Muhammad SAW yang mewariskan ilmu.

Katanya, ahli mesti ditarbiah dengan tarbiah Islam.

“Tarbiah mesti diberi perhatian sepenuhnya bahkan Dewan Ulamak PAS Pusat ucap tahniah kepada Lajnah Tarbiah PAS Pusat yang telah menerbitkan beberapa buah buku berkait tarbiah.

“Dewan Ulamak menganjurkan supaya ahli dapat hadam manhaj (sukatan) silibus melalui program usrah dan lain-lain.

“Tanamkan dalam diri rasa berdosa dan bersalah apabila tidak mengikuti program tarbiah,” tegasnya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Beliau juga memuji Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kerana mengikuti pengajian yang disediakan oleh ILHAM. – HARAKAHDAILY 16/9/2018