Bertanding banyak sebab ‘tanam benih’ Islam

KUALA NERUS: Keputusan PAS bertanding banyak kerusi pada PRU14 lalu telah dinilai dengan ‘kaca mata’ Islam yang bertujuan untuk ‘menanam benih’ Islam demi masa depan.
 
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, walaupun tempat ditandingi itu kalah, PAS tetap perlu memakai kaca mata Islam dalam menentukan tindakannya.
 
Apatah lagi menurut beliau, soal kalah menang adalah adat bertanding yang telah biasa dilalui PAS dalam banyak keadaan.
 
“Kita (PAS) bertanding 158 kerusi Parlimen. Tak pernah kita bertanding banyak itu. Ada (orang bercakap), selepas PRU, PAS perabis (menghabiskan) duit, hilang deposit setengah juta (RM).
 
“Orang yang rasa kita silap kerana bertanding banyak mungkin dia pandang daripada sudut yang lain ataupun dia pakai kaca mata berbeza.
 
“Dia pakai kaca mata kuning suruh pergi ambil kain putih dalam almari. Habis kain itu dia tak jumpa sebab kaca mata dia pakai kuning,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
 
Jelas beliau, walaupun hilang deposit, tetapi PAS ada tanggungjawab untuk menjaga, membaja dan menyuburkan dan mengawal penyakit tempat tersebut di mana Allah pasti beri kemenangan kelak.
 
Beliau juga memperumpamakan usaha di tempat yang PAS kalah seperti membeli benih durian ‘Musang King’ yang tidak dapat dinikmati hasilnya esok hari, tetapi mengambil masa.
 
Sehubungan itu beliau berharap Kerajaan Kelantan dan Terengganu menjaga negeri yang hilang deposit dalam PRU14 sebagai kerja kebajikan untuk menguatkan Islam.
 
“Andainya dua negeri boleh mendapat royalti minyak, peruntukanlah sedikit kebajikan dan jangan terbatas di sempadan negeri masing-masing,” serunya. -HARAKAHDAILY 16/9/2018
 
Advertisement