Mantap dan selaras fikrah ikut muqarrar ditetapkan

KUALA NERUS: Kemantapan dan keselarasan fikrah dalam kalangan ahli PAS wajib dipastikan berlaku dengan melaksanakan agenda tarbiyah mengikut sukatan atau muqarrar ditetapkan.
 
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihaknya telah menyusun dan menerbitkan buku panduan iaitu Nizam Tarbiyah dan Manhaj  Usrah serta Daurah  Tadribiyah.
 
Perkara itu dinyata maklumkannya dalam Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
 
Sehubungan itu beliau mengarahkan semua terbitan tersebut digunakan di dalam usrah, daurah dan liqa’ dengan mengikuti tajuk-tajuk yang telah susun bagi kegunaan program tarbiyah parti.
 
Maklum beliau, pihaknya juga akan mengeluarkan Khulasoh  Sirah dan juga Hadis serta Tafsir untuk melengkap dan memudahkan naqib dengan naqibah bergerak melaksanakan agenda berkaitan. 
 
“Yang penting kita mesti ada satu nizam yang jelas supaya ada fikrah di kalangan kita ini sama. Fikrah orang PAS Terengganu sama macam Fikrah orang Perak. Fikrah orang Kedah sama dengan Fikrah orang Johor,” katanya.
 
Beliau dalam ucapannya itu turut menyambut cadangan untuk menyediakan 12,000 tenaga amilin dan peranan Pemuda di media sosial, serta mengenai kepentingan wala’ dan dakwah menerusi akhlak. -HARAKAHDAILY 16/9/2018
Advertisement