Media sedang memimpin akal rakyat

“Bagaimana corak pemikiran rakyat, boleh dilihat dengan berita-berita yang mereka baca, apa yang mereka tulis di media-media sosial mereka, itulah bentuk akal yang digubah oleh mereka yang menguasai media.

Advertisement

“Ketika kita masih di meja-meja kuliah, ketika kita masih berjuang di mimbar-mimbar khutbah, rakyat sedang terdidik di hujung jari mereka,” demikian peringatan wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ustaz Akram Akrimin Taib Azzamuden.

Beliau meluahkan kebimbangan Pemuda bahawa akal-akal rakyat sedang dipimpin oleh pihak yang tidak meletakkan Islam sebagai panduan hidup manusia.

Perkara itu dinyatakannya ketika bangun menyokong Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pesan beliau lagi, PAS jangan terperangkap dengan sentimen Melayu sahaja, kerana kaum-kaum Cina, India dan lain-lain akan rasa tertindas dan akan mula mencari perlindungan daripada pihak lain.

“Dalam era masing-masing menuntut hak, Cina menuntut hak mereka, India mahukan hak mereka, LGBT menuntut haka mereka, masing-masing menuntut hak.

“Oleh itu PAS diingatkan agar tidak terperangkap dengan sentiment Melayu semata-mata,” tegas beliau.

Pemuda juga meminta janji PAS Pusat ketika Muktamar ke 63, tahun lalu iaitu sebanyak 45 peratus kerusi akan diperuntukan kepada Pemuda, tetapi jumlah itu tidak mencapai seperti yang dikatakan pada PRU ke-14.

Memandangkan 47 peratus pengundi pada PRU lalu ialah golongan muda, dan sekiranya umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun, Pemuda berkata ianya pasti lebih besar.

Oleh itu Pemuda mahukan kerusi yang lebih banyak bagi membantu PAS menentang lawan politik dalam PRU ke 15.

PASTI, menurut beliau adalah antara produk terbaik Pemuda dengan sejumlah lebih 100,000 pelajar dan lebih sejuta alumni di Malaysia yang kelahiran mereka semua adalah bagi membantu dakwah PAS.

Pemuda turut menegaskan akan mematuhi segala keputusan pimpinan dan akan cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi merealisasikan kehendak muktamar. -HARAKAHDAILY 16/9/2018