PAS pilih pendekatan damai

KUALA NERUS: PAS memilih pendekatan muwajahah silmiyyah mengikut konsep demokrasi walaupun ada ketempangan dan kelemahannya.

Advertisement

Ternyata pendekatan yang dilakukan oleh kalangan yang gopoh dan kononnya tinggi semangat, mencetuskan konflik dalaman sehingga mengundang campur tangan musuh yang sentiasa menunggu peluang daripada setiap penjuru.

Presiden PAS< Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kini menunjukkan PAS teguh dan semakin kuat, bukan hanya mengikut perhitungan PRU, tetapi lebih daripada itu.

Inilah hakikat firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 24-27 yang bermaksud: “Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad S.A.W) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya.

“Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.

“(26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya),” ujar Tuan Guru lagi.

Jelasnya, para ulama tafsir menegaskan bahawa kalimah yang baik itu ialah kalimah tauhid yang menolak syirik dan segala bentuk rupa dan pendekatannya.

Tambahnya, pokok itu ialah orang yang beriman kepadanya, dan yang dalam akar umbinya ialah keimanan atau akidah perjuangannya yang ditanam ke dalam hati sanubarinya dan sentiasa berbuah ialah amal soleh yang diterjemahkan dalam kehidupan dan perjuangannya bersama Islam.

“Kita menyaksikan kebenaran mukjizat ilmu Al-Quran, betapa semua kumpulan yang melarikan diri daripada Jamaah Islam yang asal, laksana ranting patah yang dipacak ke bumi, hanya menghijau beberapa hari.

“Kemudian ia mati kering, daunnya gugur dan hancur lebur ditelan zaman, hanya menjadi tempat berteduh sementara waktu.

“Maka wala’ dan taat kepada kepimpinan parti selagi tidak melakukan maksiat adalah sangat penting.

“Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak tidak berbelah bahagi, adapun ketaatan kepada pemimpin adalah bersyarat kesetiaannya kepada Allah dan Rasul yang dibahasakan dalam hukum tertinggi dalam Perlembagaan PAS yang haram dipinda,”tegas beliau.

Menurut Tuan Guru, lafaz baiah ‘aqabah yang kedua memberi penekanan politik dan cabarannya sangat penting sehingga membentuk kalangan Muhajirin dan Ansar.

Maka mereka yang disifatkan oleh Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 74 bermaksud: “Dan orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu). – HARAKAHDAILY 16/9/2018