Kelantan, Terengganu model kepimpinan Islam

KOTA BHARU: Sudah tiba masanya Islam mengisi ruang mentadbir negara ini selepas sistem yang ada sekarang didapati gagal membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Advertisement

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sistem-sistem yang sedia ada masih gagal untuk memimpin ummah.

Katanya, gagasan itu selaras dengan apa yang ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada ucapan dasar di muktamar pada Sabtu lepas.

“Peluang yang diberi untuk mentadbir Negeri Kelantan dan Terengganu mesti dizahirkan sebagai negeri model kepimpinan Islam,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Pada muktamar PAS kali ke-64 yang berakhir petang semalam, perwakilan membahas ucapan dasar Presiden bertema Islam Memimpin.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Presiden PAS menekankan paksi utama parti terbabit membangun negara berdasar acuan Islam.

Katanya juga apa yang berlaku di Kelantan dan Terenganu membuktikan kepada rakyat secara praktikal dan realiti kemampuan Islam memimpin. – HARAKAHDAILY 17/9/2018