Arak ‘beracun’

SEMALAM (18 September 2018) Lembah Klang digemparkan dengan kes keracunan arak sehingga menyebabkan 19 orang meninggal dan 32 yang lain dalam pantauan hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Advertisement

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes ini akan disiasat bagi memastikan pengilang dan pengedar mematuhi piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 untuk mengelakkan campuran secara haram yang mengakibatkan keracunan metanol.

Islam memandang serius isu pengambilan arak terutamanya dalam kalangan Muslim demi menjaga kewarasan akal fikiran dan menjaga kesihatan tubuh badan yang boleh menyebabkan kerosakan organ tubuh badan, meruntuhkan institusi kekeluargaan bahkan mengancam keselamatan umum.

Demi menjaga nilai moral dan tatatusila yang bersesuaian dengan adat kehendak terutamanya rakyat Malaysia, Islam mengharamkan setiap perkara yang berkaitan dengan arak seperti yang dijelaskan bersesuaian dengan hadis daripada Anas bin Malik R.A yang bermaksud: “Rasulullah S.A.W melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah anggur (untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya“. [Hadis riwayat Imam Al-Tirmidzi (1296) dalam Sunan]

Pemuda PAS Batu melihat perkara ini mesti dipandang secara serius dan aktiviti pengawalan pengambilan arak mestilah dikuatkuasakan oleh pihak berautoriti secara lebih telus dan menyeluruh dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan.

Kewajaran pengawalan arak bukan lagi hanya untuk Muslim, bahkan di kalangan non-Muslim juga. Ia juga mestilah tidak dipolitikkan sekiranya kita serius ingin menyelesaikan masalah moral dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berwaspadalah, kerana arak yang tidak beracun juga adalah racun masyarakat. – HARAKAHDAILY 19/9/2018

Penulis ialah Naib Ketua Pemuda PAS Batu.