Hadkan penjualan alkohol

BERIKUTAN 51 kes keracunan metanol di Kuala Lumpur dan Selangor (sehingga 19 September 2018) di mana 19 kematian dan 14 yang lain dalam keadaan kritikal, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak terkejut sama sekali. Bagaimana alkohol yang dicampurkan ini berakhir di pasaran? Ini kerana kami telah lama menggesa pihak berkuasa sejak empat dekad yang lalu supaya mengambil pendirian tegas untuk mengawal penjualan alkohol tetapi gesaan itu berlalu begitu sahaja dan mengalami kejutan apabila insiden ini berlaku. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa sesetengah kedai menjual arak seludup.

Advertisement

Kejadian keracunan metanol ini bukanlah pertama kali berlaku dan bukanlah yang terakhir kerana ia pernah berlaku pada 1977 (18 kematian), 1979 (21 kematian), dan 1981 (32 kematian). Sebab kepada kejadian ini ialah samsu, bir, atau arak murah tetapi dicampurkan dengan metanol beracun (dijual secara komersial sebagai methylated spirit).

Pada 2005, rakyat Thailand keluar beramai-ramai ke jalan raya di Bangkok, Thailand untuk membantah terhadap permohonan bagi penyenaraian di pasaran saham oleh syarikat pembuat bir terbesar Thailand. Mereka berjaya menolak permohohan itu.

Ini adalah hasil rakyat Thailand yang melihat keluarga yang berpecah-belah, kemerosotan pelajar, bilangan kemalangan yang berkait dengan memandu dalam keadaan mabuk, pergaduhan yang berlaku selepas mengambil alkohol.

Hampir 20 peratus (13 juta) rakyat Thailand menandatangani petisyen menyokong Akta Kawalan Minuman Alkohol Thailand apabila ia pertama kali dicadangkan. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Thailand di atas pendirian mereka yang menentang kerana mahukan sebuah masyarakat yang sihat serta bebas daripada alkohol dan menggunakan wang mereka untuk makanan dan keperluan lain bagi keluarga mereka.

Seperti rakyat Thailand, rakyat Malaysia juga seharusnya mengambil berat mengenai isu yang melibatkan mereka dan bukannya mengambil sikap ‘tidak apa’. Kami juga ingin merayu kepada pembuat dasar supaya menggubal atau meminda undang-undang yang lebih ketat dan tegas bagi mengawal penjualan alkohol memandangkan sekarang kita boleh melihat kedai alkohol semakin banyak dibuka dan beroperasi dengan kawalan yang sedikit oleh pihak berkuasa.

Kami menggesa supaya mengehadkan alkohol berdasarkan enam perkara berikut:

1. Alkohol mendedahkan risiko kesihatan.
2. Masalah sosial akibat daripada kemabukan alkohol;
3. Kemalangan jalan raya berkaitan dengan pengambilan alkohol;
4. Perbelanjaan yang tidak sepatutnya ke atas pengambilan alkohol yang boleh digunakan untuk perbelanjaan keluarga;
5. Keganasan rumahtangga berkaitan alkohol; dan
6. Mencegah keracunan metanol memandangkan ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya alkohol yang dibawa kepada masyarakat menuntut perhatian kita. Walaupun kerajaan menaikkan had usia minimum yang dibenarkan bagi pengambilan alkohol daripada 18 kepada 21 tahun pada 1 Disember 2017, ia tidak menangani masalah yang berkaitan dengannya. Contoh yang jelas ialah adalah sukar untuk memantau jika kedai runcit yang menjual alkohol mematuhinya untuk membuat pengesahan usia pembeli muda yang mencurigakan.

Adalah dianggarkan bahawa pada 2016, terdapat 2 bilion orang di seluruh dunia yang mengambil alkohol dan 2.8 juta orang mati disebabkan berkaitan alkohol.

Perangkaan Malaysia menunjukkan pengambilan alkohol per kapita (liter setahun) amat membimbangkan. Ia semakin meningkat daripada 0.8 liter setahun pada 2005; 1.2 liter pada 2010; kepada 1.7 liter pada 2015. Pada 2011, Kuala Lumpur mempunyai bilangan tertinggi peminum semasa dengan kira-kira 154,200 (19.3 peratus) daripada penduduk; Sarawak, 440,000 (17.8 peratus); Sabah/Labuan, 526,440 (16.4 peratus); dan Pulau Pinang, 221,520 (14.2 peratus).

Tambahan pula, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 (3.0 peratus) dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar (284,160 daripada penduduk) cenderung untuk membelanjakan lebih banyak daripada pendapatan mereka ke atas alkohol berbanding penduduk umum bandar (681,790 penduduk) pada 2016. Daripada penduduk umum bandar yang mengambil alkohol, kumpulan usia termuda yang dikesan ialah antara 13 dan 14 tahun.

Ia adalah satu perkembangan yang amat membimbangkan disebabkan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 yang merupakan dari kategori B40. Tabiat merokok dan/atau minum mereka akan menjejaskan perbelanjaan mereka ke atas makanan dan keperluan lain bagi keluarga. Menurut laporan 2016, rakyat Malaysia membelanjakan lebih daripada RM2 bilion ke atas alkohol setiap tahun, menjadikan kita pengguna terbesar ke-10 di dunia.

Pengambilan alkohol juga menyebabkan tidak kurang daripada berbelas penyakit seperti anemia, penyakit kardiovaskular, sirosis, dementia, gout dan juga peningkatan risiko kanser. Pada 2012, ia menyumbang kepada 30.8 peratus sirosis hati dalam kalangan lelaki dan 28.6 peratus dalam kalangan wanita; dan Majlis Keselamatan Jalan Raya menganggarkan memandu ketika mabuk menyebabkan 30 peratus daripada kemalangan jalan raya di seluruh negara dengan 38 peratus mengakibatkan kematian.

Kajian juga menunjukkan ketidakhadiran di tempat kerja berkaitan dengan pengambilan alkohol ialah 16 kali lebih tinggi berbanding bagi alasan lain.

Sehubungan itu, kami mencadangkan:
• Kedai alkohol seharusnya tidak dibenarkan dalam lingkungan 500 meter daripada sebarang kawasan perumahan, hospital, institusi agama dan pendidikan.
• Alkohol juga seharusnya tidak dijual di Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), kedai runcit yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia sejak 1983.
• Waktu operasi kedai yang menghidangkan alkohol mestilah dihadkan contohnya dari jam 1 petang hingga 9 malam, dan perabot seperti meja dan kerusi tidak ditempatkan di luar kedai (termasuk kaki lima jalan).
• Memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual alkohol campuran atau yang diseludup yang mana dutinya tidak dibayar.
• Mengenakan ‘cukai dosa’ (sin tax) ke atas alkohol (sama seperti yang dikenakan kepada rokok) dan digunakan untuk tujuan promosi kesihatan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB).
• Melarang penjualan alkohol dan rokok bebas cukai, malah di lapangan terbang.
• Mengharamkan sepenuhnya iklan alkohol.

Kami mencadangkan agar ‘cukai dosa’ dikenakan ke atas alkohol sama seperti yang dilakukan ke atas tembakau dan rokok supaya cukai itu boleh digunakan untuk membiayai program pendidikan dan kesihatan yang berkaitan dengan bahaya pengambilan alkohol dan merokok. Program boleh dijalankan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dengan pembiayaan diberikan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB). MHPB ditubuhkan pada 2006. Pengambilan alkohol perlu dihadkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang lebih sihat.

S.M MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 19/9/2018