Ganja: Racun atau penawar?

PIMPINAN PH mutakhir ini cenderung memihak kepada banyak aspek yang songsang dan berlawanan dengan norma serta falsafah masyarakat bertamadun. Ini termasuk menimbulkan kecelaruan, bahkan ancaman terhadap perundangan, status serta jaminan hak pihak tertentu.

Advertisement

Terkini, hasrat rayuan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berhubung kes graduan yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana kesalahan berkaitan ganja. Nada seumpama supaya diadakan semakan turut dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kami mencurigai, betapa pengangkatan isu ini bukanlah untuk menegakkan hakikat keadilan kepada graduan tersebut. Tetapi lebih menjurus untuk merai dan meraih sokongan golongan yang terjebak atau menerima ganja secara positif. Walhal ia telah difahami secara keliru dan salah serta celaru.

Lebih malang, ia boleh menggugat keluhuran perlembagaan atas pertikaian yang dibuka dan disuarakan ke atasnya. Malah, bertambah malang, ia dimulai sendiri oleh pemimpin-pemimpin negara yang sepatutnya menghormati dan mempertahankan doktrin pengasingan kuasa legislatif dan kehakiman.

Dikesali juga, apabila Nurul Izzah seolah-olah berwacana untuk ganja diterima atas alasan faedahnya. Beliau sewajarnya merujuk perkara sedemikian kepada ahli dan pakar dalam bidang tersebut. Hingga ke saat ini dunia perubatan dan perundangan telah memberi peruntukan jelas mengenainya.

Izzah seharusnya lebih berhati-hati dalam mengemukakan pandangan dan meneroka implikasi terhadap masa depan masyarakat dan negara. Keghairahan bersetuju secara oportunis dan pragmatik boleh mengundang kehancuran manusia dan tamadun telah dibinanya.

Beliau seharusnya membezakan antara pembelaan terhadap pesalah atau mengkaji perundangan berkaitan dengan cadangan menerima perkara atau benda terlarang seperti ganja itu adalah dua hal berasingan. Ia sama sekali tidak sewajarnya diperjuangkan sama rata atau menguntungkan keduanya.

Secara umum, berdasarkan maklumat saintifik semasa yang diiktiraf, kami bersetuju bahawa ganja mempunyai faedah, namun mudaratnya jauh lebih besar dan bahaya. Dalam aspek perundangan pula, kami menyeru agar kembali kepada hukum Islam yang nyata lebih adil dan sejahtera.

Kami juga menyokong saranan Pengerusi Majlis Penasihat PAPISMA, Dr Suhazeli Abdullah yang menyatakan andai perundangan membenarkan sekalipun, tidak semua orang bebas memiliki, memproses dan mengedar ganja. Ia wajib diselia oleh pegawai yang diberi kuasa oleh undang-undang seperti doktor dan ahli farmasi.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/9/2018