Surat terbuka buat Tun M

RIDUAN

Fenomena Penjelasan Batas-batas Iman Dan Kufur Bukan Takfiri

Advertisement

MEMBACA tulisan sampah Tun terhadap PAS seolah membawa kami generasi berumur 40-an melewati kembali terowong masa zaman pemerintahan sebagai Perdana Menteri yang keempat Malaysia. Era diktator yang akan menghumban penentang-penentang politik kerajaan BN ke dalam jeriji besi ISA serta pesaing-pesaing politik Tun dalam Umno terhumban keluar daripada persaingan merebut pengaruh ahli Umno. Itulah kahak sejarah yang ditelan oleh TS Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, manakala PAS sebagai parti politik yang paling menderita di zaman Tun Mahathir.

Naratif Tun terhadap PAS tidak pernah berubah, api kebencian yang terus menyala dan mungkin dibawa sehingga mati. Setelah gagal melaksanakan janji manifesto PH dengan erti kata lain, menipu jutaan pengundi dengan memanipulasi kelemahan kerajaan BN maka Tun berlabun tentang mengapa beliau menentang PAS. PAS bagi Tun adalah pemecah belah orang Melayu dengan isu-isu agama, PAS mengkafirkan Tun!. Bijak Tun mengalih perhatian massa akan persaingan kuasa di antara Tun dengan Anwariyyun, langkah PD vs langkah pemerdagangan politikus Umno.

Tun buat-buat lupa bagaimana ucapan-ucapan Tun sendiri dalam dekad 80-an dan 90-an, sinis bahkan melampaui batas terhadap Syariah, mempertikaikan periwayat hadith dan pelbagai koleksi ucapan meremehkan Islam. Tun jangan lupa permusuhan Tun pada agamawan sehingga dipecat Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom, dikucilkan tokoh-tokoh agama seperti Dato’ Dr Haron Din. Apa yang Tun lakukan pada sekolah-sekolah agama rakyat? Tindakan Tun memencilkan Kelantan yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kami generasi yang diperintah oleh Tun selama 22 tahun tak akan lupa sejarah hitam ini. PAS mengkafirkan Tun dan orang Islam kata Tun dalam tulisan sampahnya itu, ironisnya apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau di seluruh negara. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah. Para asatizah mengajar bab batas-batas iman dan kufur, perkara-perkara yang membatalkan syahadah kerana masyarakat Melayu tipikal hanya biasa mendengar perkara membatalkan solat dan puasa. Kejahilan itulah yang membuka ruang keberanian mereka untuk bercakap mengenai hukum agama tanpa batasan, bahkan kepada kelompok elit seperti Tun sendiri.

Isu menjaga batas-batas iman ini juga telah digunakan sebagai senjata politik dan dimanipulasi oleh Tun Mahathir untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. Mahathir dan avatar politiknya mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman takfiri dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain. Dalam program BTN, tanpa berselindung PAS dituduh sebagai khawarij, proses indoktrinisasi ini untuk menjauhkan masyarakat daripada PAS.

Di tanah air kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960-an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980-an, kerana Umno di zaman Mahathir telah mempolitikkan isu ini dengan semaksimum mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Kebangkitan Islam yang sedang melanda tanah air, maka PAS akan mendapat laba yang besar maka usaha menjauhkan PAS daripada masyarakat umum terpaksa dilakukan. Walhal PAS berusaha memahamkan masyarakat tentang akidah dan garis sempadan, antaranya tokoh PAS telah menerbitkan kitab “Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah” karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah dalam tahun 50-an.Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.

Dalam usaha rejim Mahathir mengekang PAS dalam dekad 80-an, Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Kononnya berlaku gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan Mahathir dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2. Almarhum Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut Umno. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama Umno yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis .

Tuduh-menuduh antara PAS- Umno, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka di zaman Mahathir berkuasa, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.

Debat bertajuk “PAS tuduh Umno kafir” yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh rejim Mahathir takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh untuk masyarakat membenci PAS, bahkan inilah naratif yang diulang kembali oleh Tun Mahathir sehari dua ini.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal samada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah.

Penulis merasa agak bersimpati dengan tulisan Perdana Menteri ketujuh yang masih terjebak dalam lumpur falasi dan tuduhan Perdana Menteri keempat yang menyebut bahawa PAS membudayakan politik takfiri. PAS tetap istiqomah memberikan ilmu akidah kepada rakyat kerana ini adalah sebahagian obligasi teras sebagai sebuah gerakan Islam. Membimbing rakyat mengenali Islam dan syariat-Nya, juga menjadi jurubicara kepada ummah dan membentenginya daripada terjahan aqidah yang sesat. – HARAKAHDAILY 20/9/2018

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.