Tumpu belajar, jauhi tempat berisiko

KOTA BHARU: Pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) diingatkan memberi tumpuan kepada pelajaran sepanjang berada di luar negara termasuk Timur Tengah.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan pada masa yang sama mengingatkan pelajar tidak mengunjungi tempat yang berisiko bahaya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seorang pelajar Yayasan Islam Kelantan yang meninggal dunia Ahad lalu setelah lemas di Sungai Nil, Qanatir, Mesir.

Anak Kelahiran Pasir Putih, Muhammad Arif Aiman Mohd. Husaida, 21, dilaporkan lemas ketika memancing bersama-sama rakannya.

Mohamed Fadzli menambah, untuk meluangkan waktu yang ada digalakkan, bagaimanapun jauhi tempat-tempat bahaya.

“Jaga diri sendiri sewaktu berada jauh di perantauan,” ujarnya hari ini.

Sebaik sahaja dimaklumkan perkara tersebut, Fadzli bersama Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Yakob bergegas ke Mesir.

Abdullah mengimami solat jenazah di masjid yang berdekatan dengan Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabi’ Kaherah.

Turut menyempurnakan solat jenazah rakan-rakan pelajar anak Kelantan di sana.

Sehari berikutnya Exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Cherang Ruku, Semerak Pasir Putih.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa allahyarham, Nor Tek Ab Wahab, 45, dan Mohd Husaida Mat Shahih, 52. (foto atas) – HARAKAHDAILY 20/9/2018