Tun Hanif kata dia tidak nyanyuk

TUN Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara menyangkal tanda tanya Lim Kit Siang, penasihat DAP adakah bekas pemimpin polis itu nyanyuk kerana mendakwanya pernah hendak memecah duakan negara kepada pantai barat yang ramai bukan Melayu dan pantai timur yang padat Melayunya.

Advertisement

Tun Hanif kata dia tidak nyanyuk dan mempertahankan kenyataannya. Tidak diketahui apa ekoran dan reaksi Kit Siang atas sikap Tun Hanif.

Saya tidak memihak kepada sesiapa atas perkara itu tetapi suka menyatakan orang nyanyuk tahu dirinya nyanyuk dan tidak akan mengaku nyanyuk bila orang mendakwanya nyanyuk.

Yang terasa seseorang itu nyanyuk ialah orang lain. Dia mengecam seseorang itu atas keadaan ingatannya, maka dia boleh mengandaikan seseorang itu nyanyuk.

Bahkan usia Tun Hanif sudah berada dalam lingkungan orang yang boleh nyanyuk. Malah Kit Sing sendiri sudah berada pada usia boleh nyanyuk. Mungkin agaknya Tun Hanif nyanyuk itu disebabkan oleh sebab-sebab nyanyuk juga.

Saya sendiri banyak yang tidak selera atas tulisan dan pandangan bebas saya, tidak segan-segan menulis saya sudah nyanyuk. Hari-hari ada yang mengata saya nyanyuk terutama mereka mengetahui usia saya berada dalam lingkungan orang yang boleh nyanyuk. Saya sekarang sudah kurang dua 80 tahun.

Pada saya, saya tidak nyanyuk walaupun perkara yang saya lupa, tetap banyak juga yang saya ingat. Banyak yang datang bertanya sesuatu yang mereka keliru dan mereka puas hati kerana saya dapat jelaskan duduk sesuatu perkara.

Saya tidak dapat memastikan anggapan sesetengah orang terhadap saya itu salah. Kerana saya tidak tahu keadaan saya sebenarnya. Orang yang memerhatikan boleh jadi lebih tahu keadaan saya sebenarnya. Seperti orang gila. Mana orang gila tahu dia gila dan jika ada yang mengata dia gila, dia akan kata orang yang mengata dia gila itulah yang gila sebenarnya.

Mungkin kita tidak terasa kita nyanyuk atau gila, tetapi orang lain boleh tahu keadaan kita yang sebenarnya.

Tetapi orang yang mengatakan kita nyanyuk atau gila itu belum tepat andaiannya. Yang boleh mengesahkan kita nyanyuk ialah doktor.

Atas segala andaian yang saya juga nyanyuk, saya terima dengan senang hati kerana mereka dapat melihat keadaan kita. Saya tidak berhajat jumpa doktor tentang apakah benar saya nyanyuk atau saya sebenarnya sihat.

Sebabnya saya takut, nanti doktor sahkan saya benar-benar nyanyuk. Kalau saya sekadar dikata nyanyuk oleh orang tidak ada autoriti mengesahkan seseorang itu nyanyuk atau tidak, mungkin saya tidak terkesan sangat, kerana saya belum tentu nyanyuk, tetapi kalau doktor dengan kepakarannya sahkan saya nyanyuk, tak nyanyuk pun boleh jadi betul-betul nyanyuk.

Pengaruh psikologi ditakuti memberi kesan dan kita boleh jadi betul-betul nyanyuk.

Saya pernah datangi oleh orang-orang yang mengaku tidak senang kerana ada tok guru mengata mereka sesat. Mereka tidak dapat terima dan minta saya gunakan pengaruh bagi membetulkan keadaan.

Saya mengaji siang malam dengan tok guru bersama ramai lagi mana boleh betulkan tok guru itu. Kalau saya boleh betulkan, bererti tok guru itu pula bertok guru dengan saya. Saya mengajar, tok guru belajar.

Bila seorang dikata sesat oleh tok guru, bukan orang lain pergi jumpa tok guru bagi mentakwil tok guru. Tok guru biasanya banyak kelebihan daripada orang lain. Orang yang dikata sesat itu sendiri patut jumpa tok guru minta keterangan bagaimana dia dikatakan sesat.

Tok guru mungkin silap, tetapi orang yang dikata sesat mesti buktikan dia tidak sesat dengan hujah yang cukup, bukan mengadu kepada orang lain yang dia dikatakan sesat.

Kalau tok guru silap. Tetapi bagaimana kalau tok guru tidak silap?

Kes orang sesat memang banyak. Banyak kes di mahkamah berkali-kali didakwa dan dijatuhkan hukuman, mereka terus melanggar kanun yang mendapati mereka sesat. Berkali-kali dikenakan tindakan pun mereka kata mereka tidak sesat.

Orang sesat macam orang gila dan nyanyuk, masing-masing ada kelemahan. Orang lain yang tahu mereka lemah atau tidak, macam saya juga. – HARAKAHDAILY 21/9/2018