LGBT: Jangan terpengaruh yang berfikir di luar tabii

FIRMAN Allah:

Advertisement

أَفَمَن يَمْشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِ أَهْدَىٰ أَمَّن يَمْشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Maka adakah orang yang berjalan tersungkur di atas mukanya (kepalanya ke bawah cara di luar tabiinya) mendapat hidayah (petunjuk yang sebenar daripada Tuhan) atau orang yang berjalan tegak betul (mengikut tabiinya dengan berpijak kakinya ke bawah) cara yang lebih betul?”. (Surah Al-Mulk: 22)

Inilah bandingan di antara golongan yang mengikut petunjuk Allah dengan golongan yang menolaknya.

Mereka yang menolak dengan sendirinya mencipta perkara yang tidak diizinkan oleh Allah dalam perkara di luar kemampuan akal dan ilmu mereka. Sehinggalah melampau dan keluar daripada fitrah atau sifat tabii (naluri), laksana berjalan dengan muka, bukan dengan kakinya.

Allah Yang Maha Esa bukan sahaja Pencipta Alam, bahkan Allah juga mengadakan undang-undang atau peraturan yang mentadbir alam ciptaan-Nya yang dinamakan syariat yang wajib diimani, mengikut konsep tauhid rububiyyah yang diulangi ucapan Rabbi Al-‘Alamin dalam setiap rakaat solat, dan diimani oleh manusia secara fitrah (naluri).

Dinyatakan dalam firman Allah:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad S.A.W.) bertanyakan kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?”. Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad S.A.W.): “Alhamdulillah” (bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian, tidak mengingkari adanya Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak berilmu (hakikat menegakkan tauhid dan menolak syirik)”. (Surah Luqman: 25)

Wajib diimani juga bahawa Allah menetapkan kepada setiap makhluk-Nya undang-undang fitrah (naluri atau tabii) mengikut sifat kejadian masing-masing bagi semua makhluk di langit dan di bumi.

Allah telah menciptakan binatang tanpa akal dan tumbuhan yang hidup subur tanpa bergerak mengikut naluri dan kawasan masing-masing. Begitu juga matahari, bulan, bintang, cakerawala dan awan yang terapung di antara langit dan bumi, semua makhluk itu patuh secara tabii. Termasuk manusia yang berakal waras berpandukan ilmu yang sebenar dan pengalaman yang betul juga wajib mematuhinya.

Firman Allah:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian di alam semula jadi) percaya kepada petunjuk Tuhan (Islam), tiba-tiba mereka mencari lain daripada agama Allah (Islam)? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat (Islam) oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela (membuat pilihan bagi yang berakal) atau terpaksa mengikut naluri (tabii), dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan”. (Surah Aali ‘Imraan: 83)

Bagi manusia, makhluk yang bercirikan jasad yang hidup bergerak dan berakal fikiran, berkeluarga dan bermasyarakat madani (bertamadun) tidak sama dengan pokok tumbuhan yang tidak bergerak daripada tempat berpacaknya. Tidak sama juga dengan binatang kerana manusia itu berakal dan tidak sama dengan malaikat dan jin kerana manusia muncul di alam nyata yang dapat dilihat.

Hidup manusia itu pula bukan bersendirian sahaja, tetapi berkeluarga dan bermasyarakat madani (berkumpul dan bertamadun). Maka Allah menetapkan peraturan dan undang-undang yang dinamakan syariat, bukan sahaja undang-undang bersifat fitrah (tabii).

Di sampingnya, banyak peraturan yang boleh dinilai oleh akal yang waras untuk dipilih, dipandu dengan ilmu dan pengalaman, serta mengambil kira masa yang berlainan dan tempat yang berbeza serta berubah. Dimaafkan kepada mereka yang kurang upaya jasadnya dan tidak berakal seperti gila, lupa dan nyanyuk.

Petunjuk yang dinamakan Islam itu diwahyukan kepada para rasul yang dipilih sendiri oleh Allah, bukan dengan usahanya sendiri atau dipilih oleh manusia melalui pilihan raya atau keturunan. Bersama para rasul itu diwahyukan Kitab (Firman Allah) sebagai petunjuknya yang berakhir dengan Al-Quran. Allah juga menjadikan Al-Quran itu mukjizat ilmu (perkara luar biasa menjadi tanda kerasulan Rasul terakhir).

Sunnah atau hadis atau hikmah Rasulullah S.A.W. menunjukkan cara beramal dengan Al-Quran pada zamannya. Petunjuk yang bersifat universal (sejagat) sepanjang zaman, kerana perkembangan dunia pada akhir zaman ini, ada perkara yang tetap dan ada yang mengalami perubahan mengikut realiti dan situasi, tempat dan keadaan yang berbeza.

Dibuktikan betapa benarnya Al-Quran itu melalui laporannya, berkenaan kisah benar yang berlaku pada zaman dahulu kala, walaupun masanya sudah berlalu beberapa abad dan jaraknya yang jauh daripada masa dan tempat lahir Rasul akhir zaman iaitu di Makkah dan Madinah. Tempat yang paling terpencil di tengah padang pasir yang asalnya tiada tumbuhan dan penghuni.

Al-Quran juga menyatakan berkenaan makhluk alam angkasa lepas seperti matahari, bulan, bintang, cakerawala dan peredarannya yang dapat dilihat. Ternyata benarnya petunjuk ini telah dibuktikan oleh sains terkini yang tidak mampu diketahui oleh manusia dengan ilmunya pada 15 abad yang lalu ketika Al-Quran mula diwahyukan. Ini membuktikan bahawa benarnya petunjuk Al-Quran itu, bermula daripada hukum yang disebut, perkara ghaib dan peristiwa Kiamat yang akan berlaku, adalah benar dan wajib diimani tanpa keraguan.

Maka hukum halal dan haram dalam urusan kehidupan manusia adalah sempadan Allah yang mengawal perjalanan hidup mengikut fitrah, naluri dan sifat tabii, supaya tidak terkeluar daripada sifat kejadiannya sehingga merosakkan diri manusia itu dan alam sekelilingnya.

Allah menyebutkan contoh apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah seperti berada dalam pesawat udara melebihi kawasan bumi boleh mengganggu pernafasannya.

Firman Allah:

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah (petunjuk) kepadanya, nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Dan sesiapa yang menjadi sesat, nescaya ia menjadikan kefahamannya laksana dadanya sesak dan sempit sesempit-sempit nafasnya. Seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit yang tinggi (di luar sempadan bumi). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman”. (Surah Al-An’aam: 125)

Hari ini terbukti dengan nyata bahawa makanan dan minuman yang diharamkan oleh Islam menyebabkan penyakit berbahaya. Ada bahayanya hilang dengan dimasak, atau habis masa mabuknya dinamakan arak yang diharamkan apabila berubah menjadi cuka yang dihalalkan.

Ada yang diharamkan selama-lamanya seperti daging babi, kerana hikmah kejadiannya bukan untuk dimakan, tetapi dimaafkan ketika darurat di mana tiada makanan yang lain, kerana mengikut Maqasid Syariah yang berpandukan daripada dasar umum Al-Quran, menunjukkan diutamakan menjaga nyawa dahulu dalam keadaan darurat, yang ada sempadannya yang diizinkan oleh Allah.

Begitulah hubungan di antara lelaki dan perempuan yang berbeza kejadiannya dan peranan berkeluarga. Maka diadakan hukum syariat perkahwinan di antara lelaki dan wanita mengikut hukum, adab dan sempadannya. Turut diharamkan berkahwin dengan keluarga yang terdekat seperti ibu bapa dengan anak dan di antara satu keluarga yang terdekat seperti saudara kandung. Kesalahannya kini disebut sebagai sumbang mahram.

Begitu juga diharamkan perkahwinan sejenis dan diharamkan juga berzina, liwat dan sihak (lesbian). Ternyata tindakan yang salah ini menyebabkan penyakit terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Walaupun dibuat atas konsep kebebasan mengikut teori Barat yang sesat dan diberi nama yang popular atau menarik seperti LGBT.

Apabila terkeluar daripada landasan tabiinya, maka dikira terbabas, menyebabkan kecelakaan yang tidak harus dimasukkan dalam takrif kebebasan. Laksana kereta yang melanggar sempadan undang-undang jalan raya dikatakan terbabas, bukannya bebas. Namun, mereka syok sendiri merasakan cerdik kerana melakukan perkara luar biasa, walaupun sebenarnya di luar naluri sehingga merosakkan diri sendiri. Hakikatnya paling bodoh kerana tidak sedar dirinya bodoh.

Islam menetapkan hukuman yang keras terhadap kesalahan melanggar sifat tabii semula jadi manusia yang membawa kesan yang sangat buruk kepada diri manusia sendiri. Cukup menjadi bukti Allah menenggelamkan kaum Nabi Lut dengan hukuman bencana paling dahsyat kerana amalan liwat. Adapun kepada umat pada akhir zaman ini, Allah menetapkan hukum haram yang menjadi sempadan kerana menjaga sifat tabii manusia.

Apa yang dibimbangi, berlakunya bencana kemungkaran yang besar apabila hukum Allah ditinggalkan dan menjadi sasaran sehingga dipertikaikan. Dan alangkah beraninya mencabar hukum Allah.

Cara berfikir mereka terlalu tertarik dengan semua yang berjenama barat seperti LGBT, walaupun sebenarnya bersifat luar tabii manusia sehingga di atas namakan hak kebebasan yang salah dan sesat. Mereka yang bersimpati terhadapnya juga berfikiran sesat kerana sangat di luar tabii manusia yang sebenarnya berakal.

Inilah akibat apabila terpengaruh dengan para pemikir bukan Islam yang paling jahiliah yang sudah mencetuskan masalah di negara mereka, sehingga binatang anjing lebih dipercayai daripada anak kandungnya.

Firman Allah:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati nurani (boleh memahami) (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Surah Al-A’raaf:179)

Syabas kepada pemimpin yang menyedari akan bahaya kalangan berpenyakit yang sesat sehingga terkeluar daripada sifat tabiinya, dan berwaspada terhadap pemimpin yang tersasul kerana hanya mahukan sokongan undi pilihan raya sehingga cara berfikirnya juga dengan cara luar tabii.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Muharam 1440 / 25 September 2018 – HARAKAHDAILY 25/9/2018