Lebih luas hutan simpan diwarta kawasan tadahan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mewartakan 92,697 hektar (228,961 ekar) hutan simpan di seluruh negeri itu sebagai kawasan tadahan air baharu.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada kawasan sedia ada yang diwarta pada 2008 membabitkan keluasan 35,898 hektar (88,668 ekar).

Katanya dengan penambahan kawasan baharu itu menjadikan keluasan keseluruhan seluas 128,595 hektar (317,629 ekar).

“Jumlah berkenaan meliputi 20.97 peratus daripada keseluruhan hutan simpan kekal yang ada di negeri ini,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga penambahan kawasan tadahan itu selaras dengan Seksyen 10(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang memberi kuasa kepada negeri.

Katanya, ia bertujuan untuk menyediakan seluas mungkin kawasan tadahan air di sesebuah negeri.

“Dua kawasan membabitkan Orang Asli iaitu Pos Dakoh dan Belatim di Gua Musang antara yang diwartakan sebagai tadahan air.

“Ini sekali gus menjadikan kawasan tersebut bebas daripada aktiviti pembalakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2018

Gob