‘Airport’ Kota Bharu tampung 2 juta penumpang

TUMPAT: Projek pembesaran Lapangan Terbang Ismail Petra di Kota Baharu sudah lama diuar-uarkan kerajaan persekutuan, namun sehingga sekarang belum menjadi kenyataan.

Advertisement

Malah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Abdul Aziz Kaprawi memberitahu projek itu membabitkan anggaran kos RM172 juta, dipohon untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Lapangan terbang terbabit yang masih bertaraf domestik antara paling sibuk di negara ini, menampung lebih 1.6 juta penumpang setahun.

Bagaimanapun di bawah kerajaan baharu sekarang, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamaruddin Jaffar berkata, kerajaan Persekutuan melulus peruntukan RM500 juta untuk menaik taraf lapangan terbang tersebut.

Katanya, kemudahan yang ada sekarang tidak mampu menampung keperluan semasa.

“Tahun ini dianggarkan lebih 2 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu. Proses tender akan mula dibuka pada 2020.

“Bila siap nanti, lapangan terbang ini mampu menampung kapasiti penumpang sehingga 4 juta orang,” ujarnya selepas majlis pecah tanah pembesaran Stesen Keretapi Tumpat dan Depot di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2018