Kelantan komited jaga kelestarian hutan

KERAJAAN Negeri Kelantan sentiasa memberi komitmen dan perhatian bagi menjaga kelestarian hutan dan alam sekitar dalam Negeri Kelantan. Di bawah Seksyen 10 (1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, Hutan Tadahan Air (HTA) merupakan salah satu daripada kelas fungsi bagi Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah kelas Hutan Perlindungan. Maka, sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah mewartakan kawasan seluas 35 898 hektar sebagai Hutan Tadahan Air iaitu meliputi 5.85 peratus daripada 613 275 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal.

Advertisement

Hari ini Kerajaan Negeri memperkasakan komitmen ini dengan meluluskan pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air baharu meliputi kawasan seluas 92 697 hektar yang melibatkan 70 kompatmen dalam 11 kawasan jajahan hutan dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan. Ini menjadikan keseluruhan Hutan Tadahan Air yang diwartakan adalah seluas 128 595 hektar iaitu 20.97 peratus daripada keseluruhan Hutan Simpan Kekal.

Hutan Tadahan Air ini adalah sangat penting kepada alam sekitar yang mana ia berfungsi sebagai:-

●     Bagi melindungi kawasan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai ciri-ciri kawasan tadahan bagi tujuan menjamin sumber air secara berkekalan.

●     Bertindak sebagai kawasan konservasi kepelbagaian biologi hutan.

●     Sebagai kawasan penyelidikan dan pembelajaran dalam aspek pemeliharaan dan perlindungan kawasan Hutan Simpan Kekal untuk tadahan air.

●     Untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum mengenai peranan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dalam pemeliharaan dan perlindungan kawasan tadahan air.

Langkah pewartaan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini adalah bagi memastikan hutan dalam Negeri Kelantan sentiasa terpelihara bagi mencapai kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan dunia sejagat serta memenuhi tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini.

YAB USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 27/9/2018