Rapatkan jurang seni dan agama

PELAKON terkenal negara, Sabri Yunus, berharap suatu hari, seni dan agama akan dapat disatukan hasil dari kefahaman bersama antara penggiat seni dan ulamak di Malaysia.

Advertisement

Beliau yakin kedua-dua ini menjadi kontra kerana salah faham dan tidak berjaya diperjelaskan kepada umum disebabkan kegagalan mencari kesepakatan dalam definisi seni itu sendiri.

“Apa yang berlaku hari ini, saya harap ada titik pertemuan yang sangat bagus antara seniman, budayawan dengan agamawan, untuk melihat sejauh mana benda ini ada penyatuan yang baik.

Kerana fitrah kita sebagai manusia juga memerlukan hiburan, memerlukan kesenian dan sebagai bangsa yang kuat jati diri, harus ada nilai budaya mereka sendiri.

Bayang jika bangsa itu tiada budayanya sendiri, apakah akan jadi kepada jati diri bangsa itu sendiri,” tegas beliau.

Beliau ditemui di Hotel Primula Batu Burok semalam, sebelum program Santai Anak Tranung yang beliau menjadi artis jemputan bersama penceramah tersohor, Ustaz Azhar Idrus.

Program soal jawab agama itu ialah salah satu acara menarik dalam Karnival Pantai anjuran Kerajaan Terengganu bermula 27 September hingga 29 September bertempat di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Seni menurut beliau, ada ditunjukkan dalam agama dan tidak sedikit contoh-contoh yang nyata yang boleh diperhatikan oleh semua pihak.

Tambah beliau lagi ramai ulamak yang meminati atau menguasai bidang seni dalam menjadikan penyampaian mereka lebih diminati dan menarik.

Al-Quran itu sendiri adalah seni yang sangat indah yang boleh diperhatikan apabila seseorang itu memahami maksud sebenar seni itu yang sebenarnya sangat luas.

“Al-Quran juga adalah seni sastera sebab ia banyak bercerita, banyak cerita dalam itu, cerita ini seni sastera.

“Dalam Quran banyak cerita-cerita, bukan sahaja hukum-hakam, jadi Dia dah letak situ seni sastera.

“Kita ada seni suara, tarannum dan sebagainya untuk bacaan kita.

Dan perkembangan dunia pun penuh dengan seni, apa yang tidak ada terlibat dengan seni,” terang beliau yang juga dikenali sebagai Pok Ya Con Codei, menjelaskan maksud seni.

Kata beliau lagi, perubahan terhadap seni dari masa ke semasa memberikan pandangan berbeza terhadap seni dan berharap pihak kerajaan dan agamawan dapat melihat sejarah seni itu sendiri sebelum membuat justifikasi.

Mengenai persembahan yang dianggap khurafat seperti memuja makhluk lain, beliau bersetuju agar elemen-elemen seperti itu dihapuskan jika ia benar disahkan berlawanan dengan aqidah.

Beliau yang turut terkenal dengan watak Wan Ismail Golok dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sekitar tahun 90-an dahulu menganggap golongan yang gagal melihat sesuatu perkara dengan seni dalam hidup mereka sebagai golongan yang malang. Tamat – HARAKAHDAILY 28/9/2018