Khir Toyo jangka Umno akan diharamkan

KUALA LUMPUR: 72 tahun Umno mewarnai dan mencorak politik negara tercinta. Terlalu banyak pengalaman yang dilalui hingga tidak memungkinkan untuk rakyat memisahkan antara Umno dan kemajuan negara.

Advertisement

Demikian menurut bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menerusi tulisan dalam laman Facebooknya dengan tajuk ‘Umno 72 tahun’.

“Sejarah yang telah terbina ini akan jadi sebutan dan fakta sejarah yang mungkin tidak dapat diulang lagi di masa akan datang seperti mana banyak sejarah gemilang dunia yang jadi sekadar sebutan rhetoric di mulut pemimpin kita hari ini.

“Perlukah Umno hala tuju baru?

“Bagi saya tak perlu, kerana Umno itu sendiri akan jadi kenangan dan sebutan sejarah sahaja,” ujarnya.

Ini, ujarnya kerana kenyataan Menteri Dalam Negeri dan diikuti pernyataan Perdana Menteri baru-baru ini telah menzahirkan secara cukup jelas bahawa Umno akan diharamkan, mestilah diambil dengan serius oleh pemimpin Umno hari ini.

Menurutnya, mungkin Umno masih lupa mereka bukan lagi kerajaan, yang boleh membuat keputusan akhir terhadap hampir semua keputusan dalam menentukan nasib sesebuah pertubuhan.

“Bagaimana Umno boleh diharamkan?” tambahnya.

Katanya, bila mana Dato’ Seri Najib Razak didakwa di mahkamah atas salah laku pengubahan wang secara haram dari sumber yang diragui, telah disebut dalam pertuduhan itu Umno juga menerima RM20 juta dari wang tersebut.

Katanya lagi, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga telah diheret ke mahkamah atas kelakuan menerima wang RM9.5 juta daripada Najib daripada sumber yang sama.

Menurutnya, undang-undang dengan jelas mengatakan mana-mana pertubuhan yang menerima dana berupa wang atau lain-lain daripada sumber haram atau meragukan sifatnya maka pertubuhan tersebut boleh diharamkan di sisi undang-undang.

Menurutnya lagi, persoalan yang timbul walaupun di sudut undang-undang tidak relevan, Umno tidak mengetahui dari mana sumber wang RM20 juta itu, tetapi fakta jelaskan menunjukkan wang tersebut daripada akaun Najib, Presiden Umno.

Katanya, dengan alasan Umno tidak boleh haramkan kerana tidak tahu sumber wang itu sama ada haram atau halal tidak timbul sama sekali kerana Najib, presiden parti sangat tahu asal usul wang tersebut.

“Saya lihat Umno akan diharamkan sebaik sahaja saja mahkamah membuat keputusan bahawa wang yang masuk dalam akaun Najib adalah dari sumber yang meragukan dan haram sifatnya.

“Sebab itu, saya katakan Umno tidak perlukan hala tuju baru mahupun penjenamaan baru kerana ia akan diharamkan dan tidak boleh diaktif semula,” ujarnya.

Ini, ujar beliau berbeza dengan Umno dibatalkan pendaftarannya seperti berlaku sebelum ini.

Beliau menambah, dibatalkan pendaftaran maka tindakan selanjutnya mendaftarkan semula Umno tetapi diharamkan mengikut undang-undang tidak boleh dihidupkan semula dan semua aset Umno akan jadi milik negara. – HARAKAHDAILY 30/9/2018