4,000 Projek Mesra Rakyat dimansuhkan?

nasrudin3

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak pihak kerajaan untuk menjelaskan butiran dan faktor lebih 4,000 Projek Mesra Rakyat yang telah diluluskan bagi tahun 2018 dikatakan telah dimansuhkan.

Advertisement

Berdasarkan sumber maklumat yang diperolehi sehingga Julai 2018, jumlah 4,000 Projek Mesra Rakyat tersebut merangkumi setiap parlimen di seluruh negara. Anggaran keseluruhan nilai projek tersebut berjumlah lebih RM100 juta.

Contohnya, di Negeri Sembilan sahaja, projek yang terlibat berjumlah lebih 500 buah projek. Johor pula mencatatkan paling banyak iaitu lebih 800 buah projek, manakala di Kedah pula sebanyak lebih 500 buah projek.

Kebanyakan projek berkenaan adalah projek di luar kawasan bandar dan ia adalah projek keperluan masyarakat setempat seperti masjid, dewan dan jalan raya.

Apa yang disuarakan oleh PAS ini selari dengan kebimbangan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia sebelum ini.

Tuntutan pembayaran projek berjumlah kira-kira RM8 juta masih belum dilunaskan disebabkan pemberhentian dana daripada pihak kerajaan.

Sekiranya jumlah ini tidak dibayar kepada pihak kontraktor Bumiputera ini, maka lebih kurang 400 syarikat kontraktor akan muflis. Bukan sekadar itu, kehidupan harian mereka turut terjejas.

PAS menuntut pihak Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini.

Perkara ini telah berlarutan terlalu lama sehingga menyebabkan pihak kontraktor yang telah menyiapkan kerja-kerja mereka tidak mendapat pembayaran yang sepatutnya.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Muharram 1440 | 1 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018