PRK PD: Anwar boleh kalah?

PRK Parlimen 132 Port Dickson (PD) yang sedang dalam tempoh kempen ini bolehlah dimanfaatkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pentas penamat riwayat politiknya.

Advertisement

Rancaknya pengundi, penganalisis politik, pemerhati dan seluruh rakyat menilai PRK PD adalah kerana di sini ada perbalahan besar sedang berlaku.

Sudah lama PRK tidak dihiasi dengan jumlah calon bebas yang ramai, terakhir adalah di Bukit Selambau pasca PRU 12 dimana 16 calon bebas menyertainya.

PRK PD ini sangat istimewa, bukan kerana kehadiran bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebagai anak tempatan yang bertanding kali ini, jauh sama sekali saingan dari bebas.

Namun apa yang melingkari sepanjang kempen kali ini adalah perang antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohammad yang sebenarnya menuju ke kemuncaknya.

Pertelingkahan lama yang masih membara, Anwar tidak mahu melihat Tun Dr Mahathir kekal jadi Perdana Menteri (PM), disebabkan itu maka Langkah PD dicipta bersama orang kanannya kini iaitu Rafizi Ramli.

Perbalahan terbuka dengan kenyataan Mahathir bahawa beliau tidak pernah memaafkan Anwar adalah satu signal jelas bahawa Mahathir memamg semahunya Anwar tewas kali ini.

Secara logiknya, walaupun terpaksa sukarela menewaskan Anwar, kerajaan yang ada tetap akan kukuh kerana Mahathir yakin lebih ramai MP Umno akan menyeberang ke Bersatu demi survival mereka.

Apatah lagi, dalam PKR hanya tinggal team Rafizi yang terpalit pelbagai isu sahaja mempertahankan Anwar.

Sedangkan team Dato Seri Azmin Ali lebih kukuh cengkamannya kerana kini dia berada bersama Mahathir dan memegang jawatan yang bisa sahaja mengawal pergerakan mereka yang “kurang baik rekodnya” dalam soal integriti.

PRK PD kali ini memperlihatkan rancaknya tikam menikam antara team Rafizi dan Azmin hingga terlihat kempen “sailang” bagi menjatuhkan Anwar.

Kehadiran lima calon lain (tidak termasuk PAS) membayangkan bertapa PRK ini sangat penting menjadi penentu samada Anwar boleh bertahan atau sebaliknya.

Situasi yang bakal harus Anwar terima ketika selepas ini adalah bagaimana Mahathir akan memastikan Anwar kalah, samada dengan majoriti besar atau kecil.

Agensi kerajaan yang biasa diatur bekas Presiden Umno itu boleh sahaja menjadi alat kepada Mahathir menyekat Langkah PD seterusnya mengkuburkan politik Anwar.

Lebih dari itu, PD miliki kem tentera yang sangat besar jumlah pengundinya, maka manipulasi yang telah biasa berlaku di zamannya boleh sahaja dia lakukan demi menolak Anwar ketepi.

Rata-rata anak muda pengundi di sini bercakap mengenai perbalahan ini, malah mereka secara terbuka meluah rasa kesal melihat kegilaan dua pemain politik bercakaran angkara Langkah PD sedangkan masyarakat masih dalam belenggu ekonomi yang cukup parah.

Malah dalam tinjauan penulis beberapa hari sejak penamaan calon, ramai dalam kalangan pengundi bukan Melayu khasnya kaum India dan Cina sedikit pesimis dengan langkah PD yang dibawa Anwar ini, antaranya kerana mereka penat melihat perebutan kuasa antara pemimpin ini yang tidak kesudahan.

Ada terdengar suara-suara penolakan ke atas Anwar dari kalangan pemimpin anak muda setempat khasnya mereka yang duduk dalam kem Azmin dan pro Mahathir.

Untuk memilih Isa Samad atau Saiful Bukhari Azlan sebagai wakil rakyat, pengundi di sini sudah masak dengan sikap Isa yang terpalit dengan isu Felda selama ini, sementara Saiful Bukhari pula tiada kekuatan dan ketokohan sebagai orang politik.

Tetapi mereka berdua bakal memecah undi kerana masing-masing ada pengikut tersendiri. Kerana itulah, Anwar sebenarnya bimbang dengan situasi kini apatah lagi paling dibimbangi adalah “game” yang sedang diatur Mahathir menyekat langkah PD.

Ramai melihat PRK PD adalah titik akhir kepada Anwar menikmati hari-hari lewat usia politik, dan jika kali ini bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya ditewaskan, maka akan berpecah belahlah PH menuju PRU15, dengan Mahathir sendiri akan dikenang sebagai PM yang berjaya menyekat pengaruh timbalan dan bakal PMnya untuk sekian kalinya. – HARAKAHDAILY 3/10/2018