Tak perlu perbesar isu maaf Tun M

KELIHATANNYA media luar seperti BBC mempunyai agenda negatif tertentu untuk melaga-lagakan para pemimpin Pakatan Harapan bila ia, melalui program HARDTALK-nya, nampak beria-ia menekan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

Advertisement

Silap juga jika ada di kalangan kita yang membesar-besarkan isu kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa beliau tidak pernah membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Datuk Seri Anwar untuk membuat kesimpulan ada sesuatu masalah serius yang sedang berlaku antara mereka.

Secara teknikalnya Tun Dr Mahathir memang betul bila berkata “I (Tun Dr Mahathir) have not made any formal apologies to him (Datuk Seri Anwar),” kerana sepanjang pengamatan saya permohonan maaf secara rasmi begini memang tidak ada dan amat sukar untuk ada.

Begitu pun, kenyataan Datuk Seri Anwar, yang dipetik oleh pengacara HARDTALK, Zeinab Badawi, bahawa “(Tun Dr) Mahathir has proven his tenacity, accepted past limitations, apologised and sacrificed his time and energy to raise the dignity of the people and the country,” juga betul.

Ini kerana Datuk Seri Anwar menyebut mengenai permohonan maaf secara umum sahaja dan permohonan maaf begini memang ada, termasuk dalam ucapan dasar Tun Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Bersatu di IDCC, Shah Alam, pada 30 Disember 2017.

Kata Tun Dr Mahathir dalam ucapan itu: “Saya, seperti manusia lain, tidak mungkin sunyi dari berkata dan melaku kesalahan bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara. Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu.”

Agak tidak beretika untuk pengacara HARDTALK ini terus menekan Tun Dr Mahathir selepas beliau menjelaskan bahawa “Both of us decided to forget the past because this (ousting Datuk Seri Najib Razak) was far more important and we focused on that issue and nothing else”.

Apa pun, perkara yang lebih penting ialah penegasan Tun Dr Mahathir pada akhir program HARDTALK mengenai kesediaan beliau untuk tetap berpegang kepada janji mengenai peralihan kuasa seperti yang dipersetujui oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.

Jaminan jelas Tun Dr Mahathir bahawa “I have made a promise, I will stick by my promise,” serta jawapan “yes,” beliau kepada pertanyaan pengacara HARDTALK berbunyi “Two years and you will step down at 95?,” patut mematikan mimpi pihak yang mahu melihat mereka bergaduh. – HARAKAHDAILY 4/10/2018