PASRelief tinjau keperluan mangsa gempa tsunami

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) sedang merencana usaha tersusun bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Sulawesi, Indonesia.

Advertisement

Ketika ini, ‘Advance Team’ diketuai Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor telahpun berada di Kota Palu bagi melakukan tinjauan lapangan dan pendataan bagi menyusun misi yang bakal dilaksanakan nanti.

“PASRelief datang untuk lihat sendiri kemusnahan akibat gempa dan tsunami serta derita yang ditanggung oleh penduduk yang terselamat. Kita adakan tinjauan berkenaan keperluan paling mendesak untuk bantu penduduk menghadapi situasi ini.

“Jadi dari ‘Advance Team’ ini PASRelief akan cari laluan terbaik dan kaedah pengagihan bantuan. PASRelief juga akan bina ‘networking’ dengan relawan tempatan yang bertugas di lapangan,” ujar beliau.

Sebelum ini PASRelief telah mengirimkan bantuan awal berupa sumbangan kewangan dan bersama ‘Advance Team’ itu turut membawa bantuan awal berupa makanan dan khemah untuk disumbangkan kepada mangsa terselamat.

Sejak gempa pertama berukuran 7.7 skala Richter pada 28 September lalu, lebih 1,200 telah terkorban, manakala sekitar 1,000 mangsa lagi belum dijumpai, serta lebih 100,000 hilang tempat tinggal.

Gempa tersebut yang turut disusuli lebih 130 kali gegaran itu telah merekodkan kemusnahan rumah kediaman, sekolah, masjid, bangunan-bangunan kerajaan serta banyak insfrastruktur awam lain, serta terputus bekalan air dan elektrik.

Ketika sama juga bekalan petrol amat berkurang dan terpaksa dicatu, selain berlakunya keadaan panik dan tidak terkawal pada agihan bantuan makanan, termasuk kejadian kecurian di premis jualan makanan.

Atas informasi palsu juga penduduk yang ketakutan telah memasuki lapangan terbang hingga menyebabkan pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia tidak dapat melakukan penerbangan.

Ketika sama turut tersebar dakwaan kehilangan mangsa dan perkampungan penduduk yang dikatakan terperosok dalam rekahan bumi atau dilanda lumpur tebal berkedalaman tidak kurang meter.

Usaha mendesak ketika ini selain memenuhi keperluan mangsa yang terselamat adalah khidmat sukarelawan untuk mencari dan menguruskan mayat, selain bantuan kecemasan dan perubatan.

Rakyat Malaysia yang prihatin dipelawa menyumbang menerusi PASRelief menerusi akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa atau 5640 7061 2333 atas nama PASRelief. – HARAKAHDAILY 5/10/2018