Tipikal politikus gemar aplikasi logika ‘Red Herring’

MUNGKIN kita selalu mendengar penyelewengan topik yang cuba dilakukan oleh politikus seperti:

Advertisement

“Daripada kamu sibuk-sibuk bahas berkenaan penyelewengan Liberal, adalah lebih baik kamu bincang berkenaan penyelewengan berkaitan rasuah”

“Daripada kamu bincang berkenaan dosa peribadi, lebih baik kamu tumpukan dosa awam”

“Kamu sibuk berfikir, baik kamu bekerja sahaja”

Objektif

Demikian merupakan contoh-contoh falasi logika yang dipanggil sebagai ‘Red Herring‘. Ia kerap diaplikasikan oleh politikus untuk:

●     Mengambus isu yang tidak berpihak kepada kepentingannya.

●     Menutup kelemahan mereka yang tidak mampu menyediakan jawapan tuntas.

●     Menyelamatkan diri dari menjadi sasaran isu.

Dengan mengemukakan argumen-argumen yang kelihatan lebih besar, membolehkan mereka lolos dari bertanggungjawab terhadap isu yang dikemukakan. Apatah lagi terkadang mereka memanipulasi istilah ‘awlawiyyat’.

Lantas membolehkan mereka memperlekeh nilai prioriti terhadap isu yang sedang hangat diperbahaskan. Kesempatan itu sebagai buah kilas yang digunakan oleh politikus untuk menjatuhkan kedudukan pihak lawan mereka.

Terlencong

Dari aplikasi logika ‘Red Herring‘, mereka berjaya mempengaruhi psikologi orang ramai agar mengabaikan topik perbahasan sebenar. Lantas disambut dengan:

“Betul juga kata-katanya, isu korupsi rasuah lebih membebankan kepentingan negara dan rakyat berbanding isu Liberal”

“Ada benar juga pandangannya, buat apa kita berbincang soal dosa peribadi orang sedangkan dosa awam yang berkaitan dengan korupsi lebih kritikal”

“Benarlah kata-katanya, kita perlu utamakan kerja berbanding runsing berfikir berkenaan macam-macam”

Di saat respon-respon sedemikian kedengaran dari orang ramai, maka berjayalah taktik ‘Red Herring‘ dan politikus yang menjayakan logika tersebut terselamat dari bebanan isu ke atas dirinya.

Mengkelaskan topik

Kaedah untuk menggagalkan logika ‘Red Herring‘ adalah dengan menegaskan pengkelasan topik. Kita perlu ingatkan politikus yang sedang melancarkan falasinya dan audien yang sedang cuba dipengaruhi, supaya konsisten dengan topik yang diperbahaskan.

Perlu diingatkan bahawa setiap isu ada forumnya. Jangan ubah-ubah topik menyebabkan kita gagal berinteraksi dengan isu secara konsisten.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
7 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 7/10/2018

FB IMG 1538902605597