Anwar hilang kelayakan, risiko PRK lagi

KUALA LUMPUR: Calon PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebenarnya hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK P.132 Port Dickson berikutan beliau tidak mendapat pengampunan bebas (free pardon), tetapi hanya pengampunan penuh (full pardon).

Advertisement

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, fakta itu adalah sebagaimana Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan seseorang yang dipenjara melebihi satu tahun atau didenda melebihi RM2,000.

“Bila dia keluar penjara, dia hilang kelayakan untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen selama lima tahun kecuali dia mendapat pengampunan bebas, itu perkataan dalam Perlembagaan.

“Jadi dalam kes calon PH, pada pandangan kami, kami telah dinasihatkan juga oleh para peguam bahawa beliau masih lagi hilang kelayakan kerana tidak mendapat ‘free pardon‘.

“Jadi kes ini, isu ini telah dimasukkan ke dalam mahkamah oleh seorang pengundi di Port Dickson,” ujarnya pada sidang media bersama Presiden dan Calon PAS PRK itu di Markas JPP, Bagan Pinang, Port Dickson semalam.

Jelas beliau, saman tersebut turut mendapat sokongan dan perakuan segera (certificate of agency) supaya mahkamah mendengar kes ini secepat mungkin iaitu seboleh-bolehnya sebelum 13 Oktober.

Demikian itu katanya, PAS meminta supaya mahkamah mengambil inisiatif atas permohonan tersebut dan mendengar kes itu sebelum 13 Oktober dan membuat satu ketetapan sebagaimana dipohon oleh pengundi berkenaan.

Antaranya terang beliau, satu deklarasi bahawa Dato’ Seri Anwar calon PH adalah seorang yang hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun kerana beliau hanya mendapat pengampunan penuh sahaja, tetapi tidak pengampunan bebas.

“Ada satu artikel yang telah dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Mohamad seorang Ketua Hakim yang amat dihormati oleh peguam dan juga para hakim yang lain.

“Dia mengatakan bahawa ‘simple saja‘, seorang yang mendapat ‘full pardon‘ sebagaimana Dato’ Seri Anwar, walaupun dia duduk di luar penjara, dia hilang kelayakan. Sebaliknya seorang yang mendapat ‘free pardon‘, walaupun dia duduk dalam penjara, dia boleh bertanding sebagai Ahli Parlimen.

“Undang-undang jelas, Perlembagaan jelas bahawa yang diperlukan untuk seseorang yang bertanding selepas dia keluar daripada penjara, ataupun dia masih duduk dalam penjara ialah ‘free pardon‘.

“Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara. Ini kata Tun Hamid.

“Dan menjadi, boleh menjadi Ahli Parlimen walaupun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah dia boleh menjadi Perdana Menteri jika partinya mendapat majoriti.

“Itu pentingnya ‘free pardon‘ ya. Jadi pada pandangan kita, pandangan PAS, dengan dinasihati oleh para peguam kita dan juga mengambil artikel daripada bekas Ketua Hakim Negara ini, beliau tidak mendapat ‘free pardon‘.

“Oleh sebab itu he is not a qualified person to stand as a candidate in this election,” kemuka beliau membacakan tulisan Tun Hamid.

Menurut Takiyuddin, kesan undang-undang itu sekiranya Anwar menang, maka kemenangannya akan terbatal sekiranya mahkamah mengesahkan beliau tidak mendapat pengampunan bebas.

Bahkan katanya, kesan dari itu juga perlu satu PRK diadakan, maka PAS meminta supaya mahkamah membuat ketetapan dan pada masa sama bagi mengelakkan risiko PRK semula dan menyeru pengundi tidak mengundi calon berisiko itu.

Ditanya media tindakan menghadapi keadaan itu tegas Ahli Parlimen Kota Bharu itu, PAS akan teruskan dengan pilihan raya sehingga mahkamah membuat keputusan di mana wujud kemungkinan Anwar hilang kelayakan.

“Mungkin kalau dia di ‘disqualified’, kalaulah kita mendapat undi yang kedua terbanyak, kemungkinan kita diisytiharkan pemenanglah. Itu mahkamah boleh buat. Mahkamah boleh ‘declare the second highest candidate‘.

“Itu, sebagaimana dulu di Parlimen Bukit Bintang, apabila petisyen terhadap DAP diterima. Maka BN diisytiharkan menang di Parlimen Bukit Bintang. Jadi kita harap begitu jugalah.

“So dia ada ‘locus standi‘. Dan after that, kalau sekiranya katakanlah mahkamah tak buat keputusan, dan diteruskan Dato’ Seri Anwar, mungkin kita buat ‘Election Petision’.

“Walaupun dia angkat sumpah, ataupun telah dilantik menjadi Perdana Menteri, mahkamah ini, tugas mahkamah is to interpret the law, to interpreted. Dalam undang-undang. Kalau mahkamah mengatakan tidak sah walaupun dia dah jadi Perdana Menteri sekalipun, dia akan disqualified,” terangnya. – HARAKAHDAILY 8/10/2018