Dr Mujahid: Terperangkap atau diperangkap

DARIPADA kebanyakkan menteri, Dr Mujahid antara menteri yang populis. Populis kerana empat isu besar. Pertama, Hifz al-Din bermaksud semua agama; kedua, berkenaan LGBT; ketiga, sanggahan beliau terhadap Dr Zakir Naik; dan keempat, isu tak perlu ganggu privasi jika khalwat dan minum arak. Betul atau tidak isu ini, itu tidak penting. Selagi tiada sebarang penafian beliau, maka ia terpakai dan dianggap benar. Jika tidak benar, kita minta supaya Dr Mujahid saman mereka yang berani merosakkan reputasi beliau.

Advertisement

Dari kebanyakkan menteri, Menteri Agama Dr Mujahid yang menjadi fokus media. Bagi saya, fokus ini bukan kerana Dr Mujahid adalah menteri yang paling bijak dari semua menteri yang lain walaupun beliau boleh dianggap bijak kerana memiliki ijazah doktor falsafah, tetapi halnya ialah kerana beliau merupakan seorang Menteri Agama.

Jika bukan Dr Mujahid, siapa pun yang menjadi menteri agama dalam Malaysia Baru ini, sudah pasti menjadi tumpuan kerana dari sebelum Dr Mujahid naik menjadi menteri lagi, tuntutan demi tuntutan terhadap isu-isu sensitiviti agama pernah disentuh oleh golongan liberal ini.

Mari kita lihat secara ringkas mengenai tuntutan mereka sebelum ini. Tuntutan-tuntutan tersebut seperti ingin menyamaratakan agama melalui konsep pluralisme agama, seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak mengharuskan secara terus menjadi orang Islam, orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada asal agama mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah civil dan tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

Selain itu, pada tahun 2013 NGO-NGO liberal feminis melalui gabungan NGO yang diberi nama COMANGO menuntut antaranya kebebasan untuk murtad, menghalalkan seks songsang dan hapuskan hukuman jenayah syariah. Melalui G25 pula ialah menuntut hukuman kepada jenayah khalwat dimansuhkan. Perjuangan mereka nampak sama.

Saya yakin Dr Mujahid bukan sengaja untuk populiskan dirinya, tetapi beliau terperangkap. Terperangkap dalam keadaan ‘sedar’. Kenapa saya berkata sedemikian. Sebabnya dari sebelum PRU-14 lagi golongan yang menentang pelaksanaan Islam di Malaysia ini telah berpencak. Mereka secara jelas menyokong PH kerana menganggap PH boleh merealisasikan hasrat mereka. Namun, orang PH yang faham agama sendiri tak kisah. Dalam ruang yang agak terbatas, mereka berani keluarkan kenyataan yang bukan-bukan mengenai Islam. PAS antara parti yang menentang kuat golongan liberal ini.

Menteri-menteri sebelum ini tak banyak beri muka kepada mereka. Menteri sekarang agak berbeza. Sehingga sekarang masih belum jelas pendirian menteri-menteri dalam Malaysia Baru ini kerana tidak ada sebarang sanggahan secara jelas terhadap tuntutan mereka.

Mengenai LGBT baru-baru ini, setelah Tun Dr Mahathir keluarkan kenyataan tidak ada tempat LGBT di Malaysia, barulah menteri-menteri lain menyahut dengan pandangan negatif terhadap LGBT. Bab khalwat ini pula berbeza, dalam duk tunggu komen menteri agama, Tun pula tiba-tiba menyokong kenyataan tidak patut pecah pintu rumah orang malam-malam kerana itu bukan cara Islam. Malangnya ada mufti pula yang agak positif dengan kenyataan ini. Sekarang masyarakat pening tak tahu nak ikut yang mana. Habis caca merba pelaksanaan syariat Islam hari ini.

Jika hari ini Dr Mujahid menafikan isu tak perlu ketuk pintu malam-malam cegah khalwat pun, kita belum tahu hati sebenar Dr Mujahid. Apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan beliau melalui Rahmatan Lil ‘Alamin ini. Apakah tujuan beliau membuat kenyataan demi kenyataan yang nampaknya banyak memberi peluang kepada golongan yang banyak mempertikaikan institusi Islam sebelum ini seperti isu Dr Zakir Naik.

Mungkin dari awal beliau telah menyedari bahawa dirinya terperangkap dengan golongan liberal ini dan terperangkap dengan kenyataan awal beliau sendiri bahawa maksud rahmatan itu ialah semua kaum dapat merasai keadilan dan kebajikan Islam. Sehingga golongan liberal mempergunakan ayat beliau sendiri untuk diiktiraf di Malaysia.

Namun, beliau ter’miss’ bahawa rahmatan itu sebenarnya bermaksud dakwah Islam dengan kasih sayang iaitu semua golongan dapat merasai kenikmatan Islam dengan dakwah itu. Rahmat Islam akan dapat kepada bukan Islam jika mereka memeluk Islam. Bagi saya itulah Dr Mujahid sekarang, kita tak pasti sama ada beliau sudah sedar atau tidak sedar yang dirinya kini terperangkap dan diperangkap oleh golongan liberalisme.

Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi,
Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam,
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia – HARAKAHDAILY 8/10/2018