Islam liberal warnai Malaysia Baharu

ISLAM liberal seakan-akan diwarnai semula era Malaysia Baharu sekarang. Kalau sebelum ini isu itu tenggelam timbul. Namun sekarang berbeza.

Advertisement

Bukan sekadar pejuang Islam liberal meratibnya, sebalik menteri pun seperti seronok bercakap jalur kerangka Islam liberal.

Terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof dikatakan mahu hakim syarie agar tidak takut bersuara dan tidak mengikut telunjuk “golongan yang membawa idea-idea ekstrem”.

Menurutnya juga kerajaan baharu tidak sekali-kali menutup pintu untuk mengajak golongan LGBT kembali ke pangkal jalan.

Dr Mujahid mungkin antara menteri PH yang popular sekarang. Boleh mengatasi populariti Tun Dr Mahathir Mohamad atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Popularitinya sebaris dengan Dr Maszlee Malik. Mungkin berada di nombor wahid. Kenyataan demi kenyataan memperlihatkan wewenangnya apabila bercakap isu Islam.

Lebih pelik apabila hujahnya mudah berubah. “Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam apabila penguatkuasa agama mendapat laporan mengenai khalwat”.

Kenyataan itu mengundang kemarahan ummah. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan Dr Mujahid tidak faham perlembagaan.

Namun selepas dikecam kiri dan kanan, menteri itu cuba memperbetulkan dengan menganggap media salah lapor.

Bagi membela diri katanya, ‘apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu tertutup adalah bukan urusan kerajaan’.

Nampaknya 2 x 5 atau 5 x 2. Tidak jauh berbeza dengan kenyataan awal. Maknanya laporan awal media membawa roh sama seperti dihasrat Dr Mujahid.

Asal usul fahaman liberal

Ada sarjana menyifatkan idea-idea seumpama itu menggalakkan pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya. Matlamatnya bagi menolak pemikiran yang telah menjadi ijmak dan amalan di Malaysia.

Dalam bahasa mudah meminggirkan pemikiran tradisional yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak dahulu.

Malah Islam liberal dianggap ideologi yang semakin berkembang dalam masyarakat Islam sekarang. Gerakan Islam Liberal berpangkal lanskap renaissance di Barat dicetus John Locke, Jean-Jacques Rousseau dan Adam Smith.

Barat berjaya membentuk kehidupan masyarakat barat dengan idea-idea pemebebasan, sekular dan individualistik.

Maka umat Islam juga diheret supaya mengikut acuan tersebut.

Seorang profesor di Pulau Pinang pula menyifatkan pemikiran Islam liberal tidak salah kalau diterjemahkan kepada kehidupan di barat.

“Islam liberal dimaksudkan amalan Islam secara sederhana dalam kelompok masyarakat barat. Umat Islam hanya minoriti.

“Pemikiran liberal boleh menyelamatkan keadaan apabila ia bukan ditonjolkan secara ekstrem.

“Kita perlu bersederhana dalam kehidupan ketika berada dalam linkungan masyarakat barat. Namun ia berbeza pula apabila berada dalam kelompok majoriti Islam,” ujarnya.

Namun apa pun rumusan banyak seminar menuntut institusi agama perlu memantau pertubuhan condong kepada Islam liberal.

Kata mereka ia sebagai langkah pencegahan supaya faham Islam Liberal dapat dibendung dan dikawal.

Namun rumusan itu seperti kontradik dengan Dr Mujahid. Luahnya beliau berdepan pelbagai cabaran untuk mengubah imej jabatan agama. – HARAKAHDAILY 8/10/2018