Amarah umpanan musuh membunuh karektor

AKIBAT terlalu lama menahan marah, akhirnya Khabib melepaskan geramnya selepas diisytihar menang ke atas Conor. Kesabaran yang terbina selama dicerca, difitnah, diejek bapa, negara malah agamanya akhirnya diterjemahkan dengan serangan kepada pasukan Conor yang memang jahat.

Advertisement

Bahana tindakannya, Khabib dikritik seluruh dunia. Walaupun umat Islam bergembira dengan kemenangannya, hakikatnya media massa sedang memotretkan Khabib dalam bingkai pesalah dan ekstrimis. Dipergunakan tokoh-tokoh seluruh dunia mengkritik tindakan pasca perlawanan Khabib sehingga menenggelamkan fakta dan penjelasan Khabib mengenai apa yang berlaku sebelum perlawanan.

Emosi Khabib sengaja dimainkan. Kerana dia seorang muslim. Dia di pihak yang benar. Musuh Islam tidak mahu agama ini yang berpaksi kepada kebenaran dan kebaikan menjadi tarikan kepada massa, sebagaimana fenomena Mohamad Salah di arena bola sepak. Maka provokasi dirancang agar wajah Islam yang mereka sudah potretkan sebagai radikal dan ganas tidak terjejas dengan ikon-ikon Islam yang berluhur mulia.

Paling menyedihkan, perkara ini telah membawa kepada kemungkinan kemenangan Khabib ke atas Conor akan dibatalkan.

Teringat kisah bagaimana Syeikh Muhammad al-Ghazali dipecat daripada Ikhwanul Muslimin. Beliau terkenal sebagai seorang sarjana Islam yang menghasilkan berbagai makalah memberi faham mengenai Islam dan tipu daya musuh Islam. Beliau juga lantang mengkritik salah laku Islamis termasuk tokoh Ikhwan sendiri.

Akibat sikapnya yang straight forward dalam menentang kemungkaran, beliau telah dituduh bermacam-macam tuduhan, sehingga ke tahap menubuhkan jemaah dalam jemaah. Mengetahui akan dirinya dituduh, beliau yang agak panas baran telah melepaskan amarah sehingga melakukan beberapa tindakan di luar kawalan.

Musuhnya yang selama ini sengaja melakukan provokasi agar beliau naik marah, terus memanfaatkan peluang dari kemarahan beliau itu. Dijaja ‘amukan’ Muhammad al-Ghazali itu sebagai bukti segala tuduhan jahat mereka terhadap ulamak itu adalah benar. Sama sebagaimana ‘amukan’ Khabib selepas perlawanan itu.

Maka kerana itu, kepimpinan Ikhwanul Muslimin terpengaruh dengan tuduhan separuh masak itu lalu akhirnya memecat Muhammad al-Ghazali. Ikhwanul Muslimin telah kehilangan mutiara yang sangat berharga dalam mempertahankan keaslian perjuangan Islam, bahana provokasi dan rancangan jahat musuh dalam selimut.

Pengajaran dari dua kisah ini, perlunya pejuang kebenaran untuk menguatkan kesabaran dan mengawal marah. Provokasi memang sengaja dilakukan agar kita hilang kawalan, lalu persepsi dimainkan agar orang awam yang tidak tahu hujung pangkal melihat kita yang keterlaluan.

Bukan mudah untuk tegakkan kebenaran. Seninya halus. Politiknya tinggi. Berhadapan dengan politikus memerlukan skil politik yang dua kali lebih hebat dari lawan. Tidak kira sama ada mereka musuh luar atau dalam, modus operandinya stereotype sejak zaman Nubuwwah.

Ingat pesanan Nabi semasa Umar yang sedang marah meminta izin untuk membunuh si munafiq:

“Adakah kamu mahu orang berkata Muhammad telah membunuh Sahabatnya?”

Kita tahu siapa sebenarnya benar siapa jahat. Tapi persepsi tetap perlu diambil kira. Silap langkah, kebenaran tidak tertegak, malah kalian pula yang terkorban.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 10/10/2018