Lindungi negaraku dari fitnah ‘Darul Eljibiti’

SYUKUR kerana wilayah kita mulai jarak dari terjerumus ke dalam lembah fitnah ‘Darul Eljibiti’ yang bau busuknya melanda pada bulan-bulan awal pemerintahan Pakatan Harapan.

Advertisement

Bagi saya sekecil manapun benih Eljibiti itu tetap ia satu fitnah yang mengancam tamadun manusiawi. Meskipun ia melanda Las Vegas di belah sana muka bumi kita, gara-gara sepantas maklumatnya dibawa teknologi maya, sesaat itu bau busuk itu meliputi ruang rumah kita dengan segala kesannya mengancam kesejahteraan manusia di seluruh planet kita.

Bagi menyelamatkan manusiawi Bani Adam, Allah terbalikkan muka bumi Sodom dan Gemurah, lubuk bermulanya puaka Eljibiti di zaman Nabi Lut dulu, menjadi Laut Mati di pantai Jordan dan Israil sekarang. Hingga ke hari ini sejak lima enam ribu tahun dulu terselamat manusia daripada jadi binatang belaka.

Jika Darul Eljibiti dibenar wujud di bumi kita, jika kiamat lambat lagi, maka tunggulah tanah Semenanjung kita akan jadi Laut Mati yang kedua di dunia.

Justerunya saya mengingatkan perlunya kita melawan pembentukan Darul Eljibiti yang bakal menggantikan darul yang banyak di wilayah kita sekarang. Bila ia saya ingatkan hal itu dalam tulisan saya sebelum ini, lalu ramai yang melenting konon saya sudah katakan darul yang mereka diami itu sebagai sah Darul Eljibiti. Sehingga dikatakan saya menghina raja dan pemerintah atas darul tertentu.

Saya tidak kata mana-mana Darul, tetapi bila fitnah itu datang, ia tidak peduli raja, menteri dan mufti. Habis punah manusiawi masing-masing.

Memang semuanya runsing bila benih Eljibiti masuk sebaik masuk PH ke Putrajaya, ia mengepam supaya didaulatkan Eljibiti sama seperti daulatnya para raja dan kedaulatan sekalian rakyat yang berdaulat itu.

Seburuk-buruk BN dulu pekungnya rasuah dan merompak wang rakyat. Jembalang itu boleh diperangi sebagaimana PM Mahathir sedang memeranginya hingga ke akar umbi sekarang. Mungkin akan mengambil masa 25 tahun. Tetapi kerajaan sebelum ini membiar negara dirompak 60 tahun, maka membaikinya 25 tahun tidak sepanjang membiarkannya merompak 60 tahun.

Adapun wabak Eljibiti, Nabi Lut pun tidak dapat selesaikan. Terpaksa malaikat datang meranapkan wilayah itu.

Kebimbangan atas gejala Eljibiti tidak mengenal iman dan manusia dilayan oleh orang baru rasa jadi menteri. Diajak berunding dan diterima menembusi tembok JPM. Tembok Istana Negara saja yang belum.

Nabi Lut sudah layan mereka hingga sedia nikahkan puterinya dengan malaun-malaun itu. Malaun itu terkutuk belaka sedang puteri Nabi Lut itu suci. Tapi Nabi Lut sedia serahkan anaknya asal mereka tinggalkan nikah sejenis. Tawaran nabi mereka tolak. Maka kita tidak tahu apa budak-budak Harapan boleh buat jika Eljibiti dapat tegakkan darulnya.

Kita setuju mereka mesti dilayan tapi layanlah sebagaimana melayan komunis termasuk yang menyerah diri, melayan penagih dadah, orang-orang lain yang rosak akhlak. Mungkin Puan Fuziah Salleh boleh menyantuni tanpa melayannya seperti melayan bumiputera yang hendak membaiki ekonomi dan pendidikannya.

Kebimbangan itu reda apabila PM Mahathir kata ia tidak akan dilayan bak hak istimewa orang Melayu. Brother Anwar Ibrahimpun umumkan kahwin sejenis tidak diterima. Hubungan sejenis tanpa kahwin pun tak boleh.

Dengan jaminan Mahathir dan Anwar itu tiada kemungkinan Darul Eljibiti ditegakkan sehingga PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 9/10/2018