Oktoberfest, henti import budaya yang merosak

SAYA menyelar tindakan kerajaan yang masih membenarkan pesta menjulang budaya meminum arak iaitu Oktoberfest dia adakan di ibu Negara esok.

Advertisement

Oktoberfest 2018 yang berasal dari Jerman dikatakan akan diadakan di Mid Valley, Kuala Lumpur, dengan pengisian festival makanan, hiburan, muzik dan arak.

Pada 2017, penganjur telah membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi cita rasa pengunjung dan ia jelas bukan budaya yang melambangkan citra Malaysia sebagai negara beradab Timur, dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Aktiviti alienisasi budaya ini juga disambut serentak dengan penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Germany, Denmark, Norway, Japan, Thailand dan Vietnam.

Saya kesal dengan sikap mengambil mudah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang memberi lampu hijau penganjuran pesta itu jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Walaupun kononnya umat Islam tidak dibenarkan hadir tetapi apa jaminan kawalan yang disedia kerajaan untuk menghalang penyertaan umat Islam?

Budaya pelik yang tidak sihat serta merosakkan sosial diimport dari Jerman dan ia seolah meraikan budaya pengambilan alkohol. Sedari sebelum merdeka sehingga pasca kemerdekaan tiada perayaan seumpama ini yang diterima dalam mana-mana kajian sosiologi dan antropologi melibatkan kebudayaan di Malaysia.

Oktoberfest adalah pesta yang diadakan setiap tahun di kawasan yang dipanggil Theresienwiese atau lebih dikenali sebagai “D ‘Wiesn”, yang terdapat di Munich, Bavaria, Jerman. Festival ini biasanya diadakan pada bulan September dan awal Oktober.

Acara ini berlangsung selama 16 hari sehingga dan termasuk hari Ahad pertama pada bulan Oktober. Jika Ahad pertama jatuh pada 2 Oktober, acara Oktoberfest berterusan hingga 3 Oktober, bertepatan dengan hari Perpaduan Jerman.

Oktoberfest bukan sahaja bertujuan memelihara minuman khas Jerman iaitu bir, tetapi juga untuk mengekalkan budaya Jerman. Oktoberfest juga merupakan salah satu cara untuk menyatukan bangsa-bangsa di Jerman, juga untuk memberitahu orang ramai tentang budaya di Jerman.

Di samping itu, program Oktoberfest juga bertujuan untuk menjemput pelancong tempatan dan asing untuk melawat festival dan meningkatkan pertukaran asing.

Persoalannya adakah ada kaitan ia dengan budaya Asia amnya dan Asia Tenggara khususnya? Di mana logik penyatuan bangsa dan sosial dapat diraih dengan aktiviti ini di Malaysia seumpama matlamat asal di Jerman.

Yang jelas kelihatan adalah kerajaan masih mahu membelai kaum Sekular Liberal membawa budaya tidak sihat ke Malaysia.

Saya melihat sejak Mei 2018 hingga kini, Kerajaan PH kelihatan amat lunak dan mesra dengan kehendak minoriti kaum Liberal yang mahukan aktiviti yang bebas tetapi merosakkan menjalar ke dalam ruang sosial negara kita.

Dalam masa yang sama mengenepikan kepentingan dan hak rakyat majoriti yang berpaksikan moral, kehidupan segar dan sihat.

Selain gagal melunaskan janji membaiki ekonomi Negara malah semakin menjadikannya kian parah, mengakibatkan kehilangan kerja bagi 20,000 pekerja termpatan.

Kerajaan kini kelihatan ghairah meraikan budaya Liberal seumpama Oktoberfest ini. Selain banyak paparan berita kematian akibat arak, kemalangan dan keganasan akibat arak disiarkan, kerajaan kelihatan memekakkan diri.

Laporan Status Global mengenai Alkohol Pertubuhan Kesihatan Dunia 2004, melaporkan bahawa “ramai remaja di Malaysia mula mengambil minuman alkohol pada usia yang lebih awal dan dianggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan lebih daripada RM2 bilion setiap tahun untuk alkohol.

Sekitar 45 peratus belia Malaysia di bawah usia 18 tahun mengambil alkohol dengan kerap. Daripada semua dadah yang sah dan haram, alkohol jauh lebih meluas penggunaannya oleh remaja, dan menurut kajian kebangsaan ramai daripadanya kerap meminumnya sehingga berlebihan.

Di saat perkembangan buruk ini kerajaan masih memandang positif aktiviti Oktoberfest?

Rakyat tidak mahu mendengar alasan bahawa perayaan ini telah bermula sejak zaman BN kerana sejak zaman BN hingga kini rakyat yang sedar telah menolak budaya menjulang aktiviti alkohol sebegini.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik/Timbalan YDP Pas Kawasan Sik
11 OKTOBER 2018 – HARAKAHDAILY 11/10/2018