Jauhi pesta arak, elakkan kemurkaan Allah

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah menggesa Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mukriz Mahathir mengambil pendirian tegas ke atas penganjuran pesta arak Oktoberfest dan memohon kerajaan PH menolak sebarang permohonan sekiranya pesta ini ingin diadakan di Kedah agar tidak mengundang kemurkaan tuhan.

Advertisement

Kami bertegas untuk menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganjuran pesta arak yang bertentangan dengan nilai budaya rakyat Kedah.

Kami menegaskan pesta seumpama itu adalah suatu budaya yang asing kepada rakyat negeri Kedah. Ia adalah gejala negatif yang bakal menjerumuskan rakyat ke dalam sindrom ketagihan arak. Rakyat Kedah hendaklah dilindungi dari kerosakan besar berpunca dari arak. Negeri Kedah yang dikenali sebagai negeri yang mempunyai nilai-nilai agama dan kesejahteraan sejak dahulu lagi.

Kami sebagai rakyat Kedah memandang serius pesta arak yang sedang dan akan berlangsung ini, Ia merupakan amalan yang dicedok dari budaya barat yang berasal dari Jerman sewaktu meraikan perkahwinan diraja mereka.

Dewan Pemuda Kedah juga menggesa agar Kerajaan Negeri Kedah menyediakan garis panduan penjualan dan penggunaan alkohol dan arak diperketatkan di peringkat PBT dan semakan semula terhadap peruntukan undang-undang sedia ada. Juga perlu dibanyakkan kempen kesedaran bahaya arak dan dipergiatkan kepada segenap lapis masyarakat dengan mengambil iktibar kejadian kematian disebabkan keracunan arak baru-baru ini yang telah membunuh manusia dengan mencatat 40 kes. Perkara ini telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa angka kematian di seluruh negara akibat keracunan arak sehingga 29 September meningkat kepada 40 orang.

Sabda RasululLah SAW bermaksud: “Arak itu adalah sumber segala kejahatan”. Hak non-Muslim untuk minum arak tidak dihalang oleh Islam namun menjadikannya sebagai suatu pesta dan menawarkan secara terbuka adalah suatu ancaman kepada umat Islam dan membahayakan masa depan rakyat di negeri ini.

Menjadi harapan besar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah agar Kerajaan Negeri Kedah segera mengambil langkah menghalang sebarang penganjuran pesta arak Oktoberfest tersebut di negeri Jelapang Padi yang tercinta ini.

YB USTAZ MOHD SALIM MAHMOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Adun Bukit Lada – HARAKAHDAILY 12/10/2018