Sehari sebelum PRK Port Dickson

Subki 2

SAYA tidak menulis lebih awal tentang kemungkinan kemenangan Brother Anwar Ibrahim dalam PRK Parlimen Port Dickson kerana dia dijangka menang. Jika dia tidak menang samalah seperti kita tidak menjangka tsunami berlaku di Sulawasi.

Advertisement

Dia sepatutnya menang besar. Jika dia tidak menang besar, menangnya seperti menang PH dalam PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, maka tiada ertinya kemenangan itu kerana dia adalah calon dunia di situ. Jika kemenangan itu seperti Sungai Kendis, dia dikira kalah.

Maka yang semua hendak lihat ialah banyak mana, berapa majoritinya dan banyak mana lebihnya dari undi PH dalam PRU di situ lima bulan dulu?

Dan PAS pula yang kemungkinan kalahnya lebih dari kemenangan, banyak mana undi yang diraihnya. Adakah sokongan yang diperolehinya seperti sokongan yang Nabi Noh dapat dulu juga.

Tetapi yang lebih fokus tentang PRK itu bukan siapa menang dan besar mana menangnya. Adalah benar justeru ia jadi kawasan pilihan raya calon Perdana Menteri dengan izin Allah. Jika ia ada apa berlaku padanya dan tiada apa berlaku pada Dr. Mahathir Perdana Menterilah dia sekitar Mei 2020.

Semuanya beranggapan kemenangan bakal Perdana Menteri itu akan memberi tuah sebesar-besarnya kepada pembangunan Port Dickson. Tanpa kawasan itu berwakl rakyatkan Perdana Menteri, maka Port Dickson akan jadi kawasan yang terbiar seperti kawasan hulu-hulu yang lain?

Jika PM menjadikan kemajuan ditumpukan ke kawasannya, maka semua mahu PM jadi wakl rakyatnya. Gerik, Pasir Salak, Keningau, Samarahan di Sarawak akan terus mundur kerana bukan PM wakil Parlimennya. Masing-masing menunggu Perdana Menteri jadi wakil rakyatnya.

Jika mentaliti yang ditanamkan kepada semua, seperti yang disumbatkan ke kepala pengundi di Port Dickson, nyatalah pemimpin PH yang ada sekarang termasuk Anwar dan Mahathir sama kolotnya dengan otak sekalian pemimpin BN yang dilensing itu.

Maju mundur Port Dickson mesti dimasukkan dalam pelan pembangunan negara yang merata dan saksama mengikut keperluan, lanskap geografi dan tautan penduduknya. Sudah berbelas rancangan lima tahun diadakan dan sudah macam-macam nama gagasan pembangunannya seperti DEB, Wawasan 2020, TN50 yang jadi asap sekarang, tentu dapat mengatur program kemajuan secara merata dan adil sekalipun anggota parlimen buta huruf.

Sebelum wilayah kita ada Perdana Menteri kerajaan Mat Saleh dirikan MCKK di Kuala Kangsar dan Maktab Perguruan Melayu di Tanjung Malim, Pangkalan Askar Melayu di Port Dickson. Ia tidak diadakan di Pulau Pinang, Ipoh atau Kuala Lumpur. Ahli sejarah boleh memberikan jawapan.

Pembangunan itu bukan kerana Perdana Menteri dari situ tetapi apa keperluan negara semasanya. Langkawi/Kuala Kedah jadi kawasan nelayan semasa ahli parlimennya Tunku Abdul Rahman. Langkawi melonjak semasa Dr. Mahathir yang tidak jadi ahli parlimen di situ. Dua kali Pekan dapat Perdana Menteri jadi wakil rakyatnya, pertama Tun Razak, kedua Najib. Tetapi Pekan tidaklah semaju Shah Alam dan Pulau Pinang.

Melimpahlah pembangunan itu ke Kubang Pasu semasa Mahathir jadi Pedana Menteri. Tetapi adil Padang Terap, Kuala Kedah dan Jerlun terbiar?

Port Dickson tidaklah lebih terbiar dari Tanjung Karang dan Kuala Nerus. Kerana hendak memajukan Port Dickson bawa Anwar ke situ atau kerana Anwar ke situ Port Dickson pun maju, maka itu bukan cara meratakan kemajuan dan pembangunan negara.

PM perlu menseimbangkan kemajuan kepada semua, bukan mensyurgakan Port Dickson saja. – HARAKAHDAILY 12/10/2018