Selamat Hari Sukan Negara 2018

HARI Sukan Negara (HSN) kali ke-4 bakal disambut pada 13 Oktober tahun 2018 dengan tema “Jom Turun Padang” harus disambut baik oleh rakyat dengan semangat kesukanan dan muhibbah yang tinggi. DACS Malaysia berharap dengan adanya program sebegini, ia akan merancakkan lagi aktiviti bersukan, beriadah dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, baik bagi mereka yang berusia muda mahu pun tua.

Advertisement

DACS Malaysia berpendapat perpaduan dalam kalangan rakyat harus terus dipupuk tanpa mengira perbezaan keturunan, bangsa dan had umur menerusi sukan dan riadah. Bagi mewujudkan sebuah negara yang mengeluarkan hasil produktiviti yang tinggi, amalan hidup sihat mesti diamalkan oleh setiap rakyat. Keadaan tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas akan memandu pencapaian ekonomi negara menerusi amalan kerja yang produktif.

Teladan Baginda Rasulullah (S.A.W) dalam bidang sukan dan riadah harus dijadikan contoh. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah dicabar bergusti dengan seorang lelaki Yahudi dan akhirnya Baginda Rasulullah (S.A.W) menang serta lelaki Yahudi itu menganut agama Islam kemudiannya. Malah Baginda Rasulullah (S.A.W) menggalakkan umat Islam untuk belajar memanah, berenang dan menunggang kuda. Natijahnya, sukan bukan sahaja menjadikan tubuh badan yang sihat, ia melatih kita untuk mempunyai kemahiran mental yang tinggi dan fokus dalam pekerjaan yang dilakukan selain menjauhi perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti melepak dan minum arak. Baginda Rasulullah (S.A.W) pernah bersabda mafhumnya:

“Mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah.”

Banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan oleh DACS Malaysia melalui DACS Negeri-negeri seluruh negara sempena Hari Sukan Negara tahun ini seperti perlawanan bola sepak, aerobik Islamik, perlawanan futsal, hiking gunung, fun ride basikal, badminton dan lain-lain lagi. DACS Malaysia berharap rakyat dari segenap lapisan akan dapat menyertai pelbagai program yang diadakan dan menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi. Hal ini kerana perpaduan dalam kalangan rakyat mutakhir ini dilihat semakin rapuh lantaran tindakan, singgungan dan kecaman berunsur politik yang dimuntahkan oleh barisan ahli politik yang tidak matang dan rasional.

DACS Malaysia juga sebelum ini telah mengadakan banyak program yang mengajak rakyat khususnya belia mendekati aktiviti sukan dan kegiatan luar. Kewujudan Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), perlumbaan motorsikal di Litar Lumba Rakyat, Alternative Photography Club (APC), DACS Motorsport Club (DMC), Alternative Fishing Club (AFC), Alternative Horse Riding and Archery Club (AHRAC) dan pelbagai lagi aktivti luar anjuran DACS Malaysia harus dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.

Akhir kalam, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, ia dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit, merapatkan jalinan ukhuwah antara ahli keluarga dan menghasilkan produktiviti kerja yang baik serta dapat melahirkan budaya kerja yang baik dan cemerlang. Sekali gus ia akan memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan rakyat.

“Jom Turun Padang”

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Malaysia.
Dewan Pemuda PAS Malaysia. – HARAKAHDAILY 12/10/2018

IMG 20181012 WA0021