Tiada pesta arak di Kelantan

KOTA BHARU: Sambutan pesta arak atau Octoberfest tidak pernah diadakan di Kelantan, kata anggota Exco, Dr Izani Hussin.

Advertisement

Begitu juga katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk diadakan pesta arak seperti di Shah Alam atau Kuala Lumpur.

“PBT Kelantan juga tidak menemui sebarang iklan atau promosi untuk mengadakan pesta arak.

“Bagaimanapun sekiranya terdapat iklan atau promosi untuk mengadakan pesta arak di mana-mana premis restoran khas yang dibenarkan jualan arak, orang ramai hendaklah tampil memberi maklumat.

“Insyaallah PBT akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata beliau di sini.

Hari ini tular di media sosial seorang pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan menyifatkan ada tiga restoran di negeri tersebut dikaitkan dengan mempromosi pesta arak.

Dipapar pada dinding media sosial pemimpin terbabit ‘grab the great fest 2018 limited edition designer mugs at the participating outlets, the brew inspired art limited edition mugs be available’.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Lim Guan Seng berkata, restoran yang dimaksudkan pemimpin PAN terbabit mendapat lesen khas daripada PBT dan dilarang orang Islam masuk.

Katanya, promosi tersebut bukan bentuk pesta seperti Oktoberfest di Kuala Lumpur dan hanya sekadar jualan biasa untuk nonMuslim sahaja. – HARAKAHDAILY 12/10/2018