Tiga pertimbangan sebelum gubal cukai baru

REALITI sekarang, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan semula cukai jualan (5%-10%) dan cukai perkhidmatan (6%) berkuatkuasa 1 September 2018. Anggaran pendapatan yang akan diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan daripada pengenalan semula SST pada tahun 2018 adalah sekitar RM4 bilion sahaja.

Advertisement

Sementara itu, anggaran kutipan cukai daripada GST dalam tempoh 5 bulan pada tahun 2018 pula adalah sekitar RM15 bilion. Hal ini bermakna, secara kasarnya, hasil Kerajaan Persekutuan daripada kutipan GST dan SST pada tahun 2018 ialah kira-kira RM19 bilion.

Adakah Kerajaan Persekutuan sangat terdesak untuk memperkenalkan cukai baharu untuk menampung kehilangan hasil daripada GST yang dianggarkan RM43 bilion setahun? Adakah Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil sekali lagi langkah tidak popular demi untuk menyelesaikan ‘dakwaan’ hutang yang dikatakan berjumlah RM1.087.3 trilion? Adakah pengenalan cukai baharu untuk melunaskan semua janji pilihan raya Pakatan Harapan?

Walau apapun propaganda yang dimomokkan oleh Kerajaan Persekutuan, sekurang-kurangnya terdapat tiga pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum menggubal cukai baharu.  

Pertama, Kerajaan Persekutuan harus menimbangkan anggaran kenaikan hasil yang akan diperolehi daripada sumber petroleum. Setiap kenaikan satu dolar setong minyak mentah, Kerajaan Persekutuan akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM300 juta. Ketika ulasan ini ditulis, harga minyak mentah Brent ialah US$84.83.

Dalam Bajet 2018, Kerajaan Persekutuan meletakkan anggaran harga minyak mentah ialah US$52 setong atau hasil petroleum US$37.8 bilion. Maka, dengan mengambil kira peningkatan harga minyak mentah global yang tinggi, jika purata harga minyak mentah ialah US$80 setong sekalipun, maka Kerajaan Persekutuan akan memperoleh tambahan hasil petroleum berjumlah RM 8.4 bilion.

Kedua, sebelum mengambil langkah menjual tanah awam, Kerajaan Persekutuan boleh memperolehi hasil daripada sebahagian aset kewangan yang terdapat dalam Memorandum Aset.

Terdapat beberapa peluang yang boleh diperolehi oleh kerajaan iaitu daripada pembayaran semula pinjaman dan pendahuluan yang diberikan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, koperasi, syarikat dan perseorangan. Jumlah keseluruhan daripada akaun ini pada tahun 2017 ialah RM58.4 bilion. Jumlah pinjaman daripada 59 buah syarikat sahaja telah menjangkau sehingga RM30.5 bilion. Terdapat sebahagian syarikat yang tekal tidak berbayar sejak 2016 dan ada juga yang semakin banyak menambahkan pinjaman.

Pertimbangan ketiga ialah pengamalan dasar penjimatan berhemah. Penjimatan harus dilakukan dengan cermat daripada Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2017, tiga pecahan utama bagi perbelanjaan ini adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (47.94%), Emolumen (35.39%) dan Perkhidmatan dan Bekalan (15.96%).

Peningkatan mendadak sehingga 15.52% atau RM4.6 bilion telah berlaku bagi perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan pada tahun 2017 yang merangkumi perbelanjaan penyelenggaraan, sewaan, kerja-kerja pembaikan, perbelanjaan pengangkutan dan perjalanan, kos utiliti, bahan mentah dan bekalan pejabat.

Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan (15%) adalah kedua tertinggi selepas Perbelanjaan Emolumen (35%). Pada tahun 2017, empat kementerian/jabatan telah berbelanja melebihi peruntukan bagi perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan iaitu Jabatan Perdana Menteri (RM1.79 juta), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM6.87 juta), Kementerian Pendidikan (RM204.81 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM649.51 juta). Perbelanjaan bagi objek ini perlu diberikan keutamaan berbanding pemotongan perbelanjaan untuk subsidi, bayaran pencen dan ganjaran, biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajaran kerana pemacu ekonomi yang utama adalah penggunaan swasta.  

Tiga pertimbangan ini harus dinilai dengan lebih teliti oleh kerajaan sebelum mengemukakan regim cukai baharu yang mungkin berlaku kelewahan (redundancy) atau membebankan sebahagian besar rakyat pada tahun 2019. Kerajaan Persekutuan dilihat akan mencadangkan cukai baharu sama ada capital gain tax, inheritance tax, digital economy tax, soda tax atau carbon tax.

Walau bagaimanapun, banyak kajian perlu dilakukan memandangkan krisis ekonomi global mungkin akan berlaku lagi selepas 10 tahun yang lalu sehingga boleh menjejaskan sektor luaran dan kestabilan Ringgit Malaysia. – HARAKAHDAILY 12/10/2018