Syukur Lebo ampun saya sebelum mati

subky

INNA lillahi wainna ilaihi rajiun. Saya terharu apabila dimaklum melalui WhatsApp Lebo – sebutan orang Perak bagi kalimah Lebar – meninggal dunia seminggu lalu.

Advertisement

Terharu yang tidak terhingga. Lama saya mencarinya untuk minta maaf atas tindakan saya atasnya lebih 60 tahun lalu, sebelum merdeka. Saya tampar dia tanpa sebab. Ayahnya dan emaknya tahu, mereka tidak marah dan tidak tanya sebab saya tampar anaknya.

Bila saya masuk PAS, ayahnya bawa saya ceramah PAS di rumahnya. Tapi saya tidak jumpa Lebo.

Lebo berusia 10 tahun. Saya masuk 15 tahun dikira sudah masuk usia berdosa. Iblislah yang menamparnya. Kerana yang menampar itu tangan saya, sayalah yang berdosa. Iblis berlepas tangan atas dosa saya.

Setelah berusia 60 tahun saya selalu teringat dosa menamparnya. Payah masuk syurga jika tidak diampunnya. Saya cuba cari dan pernah tulis dalam Facebook. Tiada kesan. Abangnya Sa’aya sudah mati. Kalau dia juga mati, maka jenuhlah saya mencarinya di akhirat untuk minta ampun.

Saya tidak ingat saya ada tampar orang lain. Berbalah ada, tapi pukul memukul tidak ada. Saya teringat Nabi SAW pernah minta maaf dari sesiapa agar memaafkan keterlanjurannya jika ada dengan membalas seperti yang dilakukannya. Tampar balas tampar, pukul balas pukul. Seorang sahabat mendakwa pernah perutnya dicucuk baginda. Dia minta membalasnya pada perut baginda dengan baginda membuka baju bahagian perut. Semua membantah sahabat itu. Baginda membelanya, ia adalah haknya.

Baginda mendedahkan perutnya yang mulia itu, sahabat itu tidak menunggu terus mencuim perut baginda.

Jika saya jumpa Lebo, saya sedia ditamparnya asal dosa saya terampun. Jika dalam usia lanjut saya ini saya mati dengan tamparannya, ia lebih baik daripada ditamparnya di akhirat.

Dua tahun lalu saya jumpa seorang yang mengaku bersadara dengan Lebo. Dia panggil Nyah Lebo. Dia bagitahu Lebo tinggal di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan orang Kampung Baru. Lebo sepupu Jid. Saya sepupu dengan emak Jid.

Beberapa minggu kemudian Jid menelefon saya bertanyakan betulkah saya mencari Nyah Lebo. Saya sahkan.

Jid kata, Lebo ada di depannya. Saya minta bercakap dengan Lebo. Saya tanya dia, adakah dia ingat saya pernah tampar dia sebelum merdeka dulu? Kalau dia tidak ingat, percayalah saya pernah tampar dia.

Dia jawab, dia ingat.

Saya nyatakan minta ampun atas kejadian itu dan sedia ditamparnya sebagai cara bagi menghapuskan dosa saya itu.

Jawabnya, ia kejadian masa kita budak-budak. Dia sedia mengampunkannya dan tidak perlulah dia menampar balas muka saya. Bahkan dia pula minta maaf jika dia ada melakukan kesalahan pada saya.

Ampun mengampun itu adalah sifat mulia orang Islam. Jika sebelumnya saya rasa seperti memikul dosa sebesar Bukit Uhud, maka dengan pengakuan maafnya itu moga-moga terlepaslah saya daripada beban yang terpikul selama lebih 60 tahun.

Saya terkilan kerana tidak mengambil berat mencarinya selepas itu. Kira-kira dua tahun kemudian saya dimaklumkan kematiannya. Amat mengharukan. Kita doakan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang bahagia kerana mengampunkan dosa orang lain mendapat ganjaran pahala yang besar.

Tentunya kita semua berdepan belenggu dosa yang banyak kepada ibu/bapa dan sekalian manusia. Tiada cara bagi melepaskan dosa dan hutang yang banyak itu melainkan berikrar menghapus dosa sekalian manusia kepada kita dan menghalalkan hutang sekalian manusia kepada kita. – HARAKAHDAILY 13/10/2018