Jaga dari unsur cetus ketidakharmonian kaum

JUALAN masakan daging khinzir secara terbuka pada Pesta Tastefully Melaka di dalam dewan tertutup Melaka International Trade Centre (MITC) dilihat seolah-olah bermotif dan disengajakan. Ia seperti mahu mengusik dan mempersenda sensitiviti yang boleh menimbulkan ketidakharmonian akibat rasa kurang senang berkaitan kaum dan agama.

Advertisement

Permohonan maaf dengan alasan terlepas pandang terlalu dangkal dan sukar diterima, seakan ekspo tersebut tiada pendaftaran, pemerhatian, penyeliaan dan penguatkuasaan selama empat hari ia berlangsung. Adakah alasan diberikan itu merupakan satu pengakuan bahawa ianya kecuaian penganjur atau makluman berlakunya pelanggaran peraturan oleh peserta ekspo?

Kejadian seumpama tidak pernah timbul selama ini, tetapi mutakhir sejak ditadbir Kerajaan PH, hubungan antara masyarakat pelbagai bangsa sudah mula dirosakkan. Teraju politik bagaikan kuasa untuk satu-satu pihak menunjukkan keangkuhan, lalu bersikap biadab dengan menjurangkan lagi perbezaan sedia ada, sekali gus menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu Julai lalu juga berlaku kejadian hidangan daging khinzir pada Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong yang turut dihadiri pelbagai kaum. Begitu juga patung besar Jesus The Redeemer Statue sebagai binaan terbuka di Perkampungan Portugis yang dilihat tidak bertujuan amalan keagamaan, tetapi lebih sebagai simbol.

Malah sebelum dari itu, berlaku ketidakpedulian dan keengganan banyak pengusaha hotel di Melaka untuk mengambil dan mematuhi prosedur Sijil Halal JAKIM yang dilihat bagai mencabar kewibawaan pihak berkaitan. Itu tidak termasuk pernah ada cubaan untuk menganjurkan pesta arak mega dan himpunan Evangelis Kristian terbesar di negeri ini sikit masa dahulu.

Sungguh pun keterbukaan terhadap hak anutan dan melaksanakan amalan agama serta budaya kaum perlu diberi, namun ia tidak wajar sama sekali menjejaskan pihak lain pula. Hubungan berpaksi saling hormat, tolak ansur dan memahami wajib terus dipelihara dan disuburkan agar tidak ada yang terasing atau didiskriminasi, apatah lagi dicabuli kesejahteraan hidupnya.

Oleh itu, kami menuntut siasatan terhadap kes ini, seterusnya tindakan tegas sewajarnya ke atas pihak berkaitan, serta langkah-langkah agar ia tidak berulang lagi. Kami juga menasihatkan semua pihak supaya lebih peka dan sensitif terhadap soal agama dan kaum, selain tidak cuba berkelakuan sewenang-wenangnya hingga mencalar dan merenggangkan hubungan.

“Islam Memimpin”
“Terus Mara”

USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 14/10/2018