Penghargaan daripada Pemuda PAS N. Sembilan

TERLEBIH dahulu diucapkan tahniah kepada calon yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 Port Dickson 2018 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Advertisement

Mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, saya mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Port Dickson 2018, Datuk Iskandar Abdul Samad dan timbalan, Ustaz Haji Idris Ahmad yang memandu Jentera Pilihan Raya kali ini; Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Port Dickson 2018, Ustaz Haji Mustaffa Daharun, pimpinan dari Pusat, juga kepada semua petugas dari seluruh negara.

Terima kasih juga buat Jentera Pemuda PAS PRK Port Dickson 2018 yang diketuai oleh Ir. Haji Khairil Nizam Khairudin, dan semua Jentera Dewan Pemuda PAS yang datang dari seluruh Negeri Sembilan dan negeri-negeri bantu dari seluruh negara.

Penghargaan juga diucapkan buat semua pengamal media dari media cetak, media atas talian, stesen televisyen dan radio yang membuat liputan buat parti PAS dan calon kami, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar dalam PRK kali ini.

Selain itu, sekalung penghargaan juga buat rakan kami dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang turut sama membantu dalam usaha memberikan kesedaran buat rakyat terhadap situasi semasa negara.

Tidak dilupakan, salam persahabatan buat Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia / All-Malaysian Indian Progressive Front (IPF) yang telah memberi mesej kesedaran dan kebersamaan dengan PAS bagi sama-sama memperkukuh parti-parti pembangkang di negeri ini. Moga akan bertambah persefahaman antara kedua-dua parti selepas ini.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada calon kita, Lt. Kol. (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar yang sedia menyahut seruan jemaah untuk menjadi calon bagi Parlimen Port Dickson ini.

Akhir sekali, kami mengucapkan terima kasih kepada 7,456 orang pengundi yang telah memilih PAS dalam PRK kali ini. Ianya merupakan signal yang membangkitkan motivasi buat kami semua untuk terus menyuburkan Islan di Parlimen Port Dickson ini.

Semoga gerak kerja kita sepanjang proses PRK kali ini mendapat perhatian, rahmat dan hidayah daripada Allah SWT.

“Terus Mara”
“Islam Memimpin”

KHAIRUL YAZMAN YAHYA
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 15/10/2018