PRK Port Dickson: Terima kasih kepada semua

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson telah berakhir jam 5.30 petang 13 Oktober setelah semua pusat mengundi ditutup.

Advertisement

Walaupun keputusan tidak memihak kepada PAS, tetapi Allah S.W.T menjadi saksi segala kesungguhan, pengorbanan, dan jerih-perit yang telah diusahakan oleh jentera parti daripada segenap pelosok negeri.

Bermula hari penamaan calon sehingga hari pengundian, kita melihat kesungguhan para jentera yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir dengan satu matlamat untuk memenangkan PAS pada PRK kali ini.

Justeru, saya mewakili seluruh Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih serta segulung penghargaan khusus buat seluruh jentera PAS yang telah bertungkus-lumus berkempen, meraih undi, ziarah rumah ke rumah, menggantung bunting, banner, billboard, juga tak lupa buat mereka yang bekerja secara belakang tabir mereka cipta poster, kempen melalui media sosial dan segala bentuk gerak kerja yang dilakukan.

Tidak kurang juga ada yang bercuti tanpa gaji, mengambil cuti serta-merta hanya untuk turut serta dalam misi memenangkan PAS di PRK P.132 ini.

Terima kasih yang tidak terhingga daripada kami, sesungguhnya hanya Allah S.W.T selayaknya memberikan balasan setimpal dengan segala kerja buat kalian.

Di samping itu, pihak kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan baik daripada sekecil-kecil nilai hingga sebesar-besar nilai. Sumbangan kalian sungguh bermakna di saat-saat genting sebegini.

Percaya dan yakinlah bahawa kemenangan PAS ini bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi perjuangan untuk memenangkan PAS ini lebih kepada sebagai manifestasi tertegaknya Islam di bumi Malaysia melalui jalan demokrasi.

Akhir kalam, terus beristiqamah dalam jalan perjuangan ini yang semestinya susah dan panjang. Dengan izin Allah, suatu hari nanti pasti Islam akan tertegak dengan menjadi rahmat kepada seluruh penduduknya.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/10/2018