Majoriti PRK PD, ada pasang surutnya

c5

KEPUTUSAN PRK Port Dickson disambut dengan penuh gembira oleh Pakatan Harapan, bersandarkan angka majoriti 23,560 yang lebih besar berbanding majoriti 17,710 dalam PRU14.

Advertisement

Dalam keadaan peratus keluar mengundi yang lebih rendah iaitu 58.2% berbanding 82.8% dalam PRU14, jumlah undi yang diperolehi PH jatuh 14% daripada 36,225 kepada 31,016 dalam PRK ini, manakala undi yang diterima oleh PAS meningkat 13% daripada 6,594 kepada 7,456.

Jurang majoriti besar ini berlaku kerana terdapat sejumlah besar daripada 18,515 pengundi BN dalam PRU14 tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini, seterusnya memberi kelebihan kepada calon PH untuk menang di setiap saluran dan pusat pengundian.

Secara nisbahnya, PH mendapat 71% undi popular dalam PRK ini (PRU14: 59%), manakala PAS meraih 17% undi popular (PRU14: 11%) dan kesemua calon bebas memungut 12% undi popular, dalam keadaan BN yang berada di tempat kedua pada PRU14 yang lalu memperolehi 30% undi popular.

Sekiranya peratusan mengundi dalam PRK ini tidak terjejas dengan ‘kehilangan’ sejumlah pengundi yang agak signifikan dalam PRU14, mandat yang diperolehi oleh DSAI dalam PRK ini juga akan terjejas, dengan anggaran majoriti sekitar 19,000 dan 57% undi popular, malah berkemungkinan untuk kalah di beberapa pusat pengundian majoriti Melayu seperti di Linggi dan Bagan Pinang.

Ini kerana jurang majoriti kemenangan DSAI dalam PRK ini disumbangkan oleh sejumlah besar pengundi ‘bukan-PH’ yang tidak keluar mengundi dalam PRK kali ini, berbeza dengan PAS yang mendapat sedikit lonjakan daripada pengundi ‘bukan-PAS’ berbanding PRU yang lalu.

Justeru hakikat yang perlu diakui oleh PH adalah betapa mandat besar yang memihak kepada DSAI dalam PRK Port Dickson ini umpama bebuih ombak yang kelihatan banyak, tetapi tidak kukuh dan bersifat sementara.

Rakyat dan anak muda pastinya bijak menilai kegagalan PH dalam menunaikan janji manifesto, diikuti pula dengan cadangan cukai baru bagi menampung kelemahan SST, serta pelbagai insiden yang memburukkan imej parti pemerintah seperti pergaduhan sepanjang pemilihan PKR, perebutan pangkat di kalangan pemimpin PAN, lagak samseng wakil rakyat DAP, dan aksi ‘berani’ seorang Menteri PPBM berkongsi gambar tanpa berbaju di dalam media sosial.

Pemimpin PH yang masih lena dibuai ‘mimpi Putrajaya’ seperti YB LKS perlu sedar bahawa sokongan rakyat terhadap PH sentiasa berubah setiap hari, umpama air laut di pantai Port Dickson yang ada pasang dan surutnya.

Terserah kepada pemimpin dan rakyat untuk memerhati dan menilainya.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
15 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 15/10/2018