Ke mana arah kita?

SUDAH lima purnama kita melewati PRU14. Sudah empat kali kita melalui PRK dalam jangka masa ini. Kesemua itu menunjukkan rekod kad merah bagi PAS. Kalah di semua tempat. Meningkat undi? Ya, PAS mencatat peningkatan undi di dalam PRK yang PAS sertai. Tidaklah terlalu banyak naik jumlahnya, walaupun peratusan keluar mengundi amat rendah, sekitar 40-50 peratus sahaja untuk kesemua PRK itu, tetapi jumlah undi PAS sedikit meningkat, menunjukkan bahawa PAS walaupun berseorangan, mempunyai pengundi tegar di semua Dun yang diadakan PRK itu. Alhamdulillah.

Advertisement

Begitu juga coraknya dengan BN. Mereka mempunyai pengundi setia, kecuali di Balakong yang terlalu besar peratusan pengundi bukan Melayu, MCA terpukul teruk. Jadi PAS dan BN atau Umno secara khususnya, mempunyai ahli dan penyokong setia terutamanya dari kalangan Melayu. Walaupun begitu, buat masa ini, jumlah mereka tidak mencukupi untuk menutupi lompang yang ditinggalkan oleh pengundi atas pagar. Yang kita tahu, mereka buat sementara waktu ini memilih PH atas sebab yang semua maklum sekarang, iaitu fitnah dan penipuan fakta yang dimainkan dengan baik oleh PH. 

PAS mempunyai masa kira-kira empat tahun lagi bagi memujuk kembali pengundi atas pagar yang merajuk ini dan memberikan penjelasan kepada mereka kerana masih keliru. Ini tugasan yang sangat berat dan besar. Ia tidak mudah. Buat masa ini, penyokong PAS kelihatan menumpang gembira dengan pendedahan demi pendedahan balas yang dilakukan oleh BN terhadap pembohongan PH yang ada sesetengahnya tidak masuk akal. Penyokong PAS ini banyak kali juga ‘share’ status pimpinan BN bagi membelasah PH.

Datuk Seri Najib sedang bergaya mencipta identitinya sendiri dengan memberikan fakta-fakta balas yang tepat, terkadang mendiamkan pasukan PH sama ada dalam Parlimen ataupun di media sosial. Datuk Ahmad Maslan juga tidaklah kurang hebatnya apabila berkata-kata setelah menjadi pembangkang. Tan Sri Annuar Musa, semenjak dahulu lagi memang seorang yang petah berbicara, tetapi semakin menyerlah semenjak tidak lagi menjadi kerajaan dalam menangkis fitnah PH ini. Tidak sedikit daripada fakta-fakta oleh pimpinan Umno ini dijadikan modal dan hujah oleh penyokong PAS bagi menghentam PH.

Saya, teringat hal yang sama berlaku ketika PH membelasah BN dahulu. PAS banyak menumpang peluru PH bagi membelasah BN. BN tumbang. Tetapi akhirnya PAS terkedu kerana banyak cerita yang dijaja itu rupanya tidak berpijak di bumi yang nyata. Saya tidak menyalahkan penyokong PAS, kerana memahami akan keadaan yang mungkin agak tidak banyak dengan maklumat dalaman. Sememangnya itu adalah sebahagian strategi politik dalam menghadapi musuh yang besar seperti BN. Saya merasakan apabila PH sudah menghidu akan sesuatu yang positif hasil daripada kempen mereka, maka ketika itulah mereka menghulurkan kaki, menerajang PAS keluar dari pakatan pembangkang, dengan bermacam alasan. Kita maklum, jika PAS bersama mereka, banyak kerusi yang mesti diserahkan kepada PAS, dan jika mereka tidak menunaikan kehendak PAS, PAS pada bila-bila masa boleh membuat keputusan mereka sendiri.

Kini, PAS kelihatan agak lunak dengan BN. Seperti yang saya nyatakan, isu-isu negara sebenarnya dikuasai oleh BN bagi melawan PH. PAS hanya menumpang isu. Jika sekiranya, isu-isu pembohongan dan fitnah PH ini berjaya diperjelaskan dengan baik oleh BN kepada rakyat, di manakah kedudukan PAS ketika itu? Ketika ini pun BN sudah menjarakkan diri mereka dari PAS. Saya yakin, pengundi atas pagar akan kembali memeluk BN kerana janji-janji palsu yang tidak ditunaikan PH itu, akan menjadi alasan terkuat bagi pengundi atas pagar membelasah PH kembali.

Cuba bayangkan jika ketidakstabilan Kerajaan PH ini adalah helah Tun Mahathir sahaja sebagai ‘Trojan Horse’ bagi membunuh PH dari dalam. PAS pula membantu strategi Tun ini kerana marahkan PH. Akhirnya PH kalah dan saya yakin, pastinya BN yang akan menang, bukan PAS. Tun pula sememangnya mahu menaikkan kembali keyakinan ataupun personaliti BN bagi memenangi hati rakyat. Tun juga akan dikenang buat ke sekian kalinya menjadi penyelamat negara. Dan saya kira, kita sudah nampak keberkesanan strategi ini. BN sememangnya mempunyai pengalaman memerintah, jauh terkehadapan daripada PAS. PAS kembali menjadi pembangkang kepada BN pula dan saya harap ianya tidak akan terjadi bahawa, penyokong PAS dan PH kembali menggeselkan diri masing-masing membongkar pula apa yang dikatakan penyelewengan oleh BN. Jangan dianggap mustahil kerana Anwar sudah bersalam dengan Tun, PAS dan Umno juga telah saling berkunjungan di perhimpunan tahunan masing-masing. Akan beginikah nasib PAS?

Saya secara peribadi tidak menyatakan cara sekarang ini salah keseluruhannya, tetapi mempercayai penyokong PAS tidak perlu terlalu menumpang kepada isu-isu negara ini kepada BN ataupun PH. Penyokong PAS mempunyai satu isu yang tidak dibawakan dengan jayanya oleh BN dan PH iaitu isu agama yang menurut kehendak al-Quran dan Hadis. Isu agama inilah yang memberikan perbezaan yang sangat besar antara PAS dan parti politik yang lain. Sebenarnya PAS sudah berjaya sebahagiannya dengan pembawaan agama ini. Buktinya PAS tidak pernah dikenakan hukuman kerana penyelewengan, tidak pernah dibuktikan sebagai sesat, tidak pernah ada kes-kes jenayah lain atas nama jemaah. Yang ada hanyalah fitnah dan tohmahan oleh musuh. Semua ini berjaya dilakukan PAS kerana pengamalan Islam mereka. Saya juga boleh bersetuju, pengamalan Islam dalam PAS ini bukannya sudah sempurna. Masih ada kelemahan, tetapi saya sangat pasti ianya, terlalu jauh lebih baik daripada BN dan PH.

Inilah perisai yang paling utuh yang PAS miliki semenjak dahulu bagi melindungi rakyat dan negara. Ia telah dibuktikan di beberapa negeri yang mereka kuasai. Pastinya Kelantan menjadi misalan yang terbaik. Walaupun beberapa isu kelemahan kerajaan yang cuba diangkat lawan supaya rakyat membenci pemerintah Kelantan, tetapi kerana kasihnya rakyat terhadap pengamalan Islam yang ditunjukkan, mereka tidak mempedulikan semua itu. Sanggup mereka dari seluruh ceruk negara, pulang bagi mempertahankan kerajaan mereka. Maka jelas, Islam adalah jenama terbaik bagi PAS. Kita terlalu mahu menghapuskan BN atau PH melalui pembongkaran-pembongkaran penyelewengan mereka, sehingga terlupa bahawa mereka semua boleh ditundukkan secara lebih baik lagi iaitu dengan Islam.

Oleh itu, haruslah disedari, PAS mempunyai tiga elemen penting dalam persada politik tanah air iaitu, dakwah, tarbiah dan politik. PAS satu-satunya parti politik yang mempunyai ketiga-tiga ini. Tiada sekolah agama kepunyaan BN sendiri, kecuali milik kerajaan. PH apatah lagi. Tetapi PAS, menggunakan duit dan tenaga sendiri, membina madrasah mereka bagi memberikan pelajaran agama kepada rakyat. Berebut-rebut rakyat mahu menghantar anak-anak mereka termasuk anak orang Umno sendiri, belajar di madrasah PAS. Tiada kuliah haraki dalam BN untuk memperkukuhkan kefahaman agama, tetapi PAS mewajibkan tarbiyah untuk ahlinya. Inilah senjata ampuh PAS dalam kekal teguh berdiri menentang lawannya. Barulah kita akan menepati bait-bait lagu PAS, “biar syahid ataupun kemenangan” insya-Allah.

Dengan isu pembangunan, penyelewengan atau material yang ditekankan, isu-isu itu mungkin menjadi rapuh di suatu masa nanti. Apatah lagi kempen melawan BN dan PH menggunakan sumber yang kabur, ia tidak cocok dengan sifat beragama PAS itu sendiri. Tetapi jika PAS berjaya dengan ikatan agama yang dijalinkan ke dalam hati-hati manusia ini, ia akan kekal. Mereka tidak memandang kebendaan lagi setelah agama menguasai jiwa mereka. Jangan kita terlalu gembira menumpang bersorak isu-isu kebendaan yang digubah oleh BN dan PH, kerana takut akhirnya kampung kita tergadai. Allahua’lam.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
16 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 16/10/2018