Oktoberfest jejas Islam sebagai agama negara

WADAH Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menolak sekeras-kerasnya penganjuran program Oktoberfest yang telah heboh baru-baru ini. Program ini adalah suatu aktiviti yang bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran, budaya dan keagamaan serta menjejaskan Islam sebagai agama negara dan sensitiviti majoriti penduduk muslim.

Advertisement

Wadah juga berpandangan tiada kewajaran untuk program seumpama Oktoberfest ini menjadi acara awam dan terbuka dengan segala publisiti melalui media massa demi menarik minat umum untuk menyertainya. Wadah berpendapat bahawa mudharat dari program seperti ini lebih besar dari manfaat yang diharapkan.

Amatlah malang jika Malaysia memberi ruang secara terbuka sedangkan terdapat negara-negara Barat sendiri telah mulai mengawal daripada berkembang kegiatan seumpama ini.

Wadah yakin bahawa seluruh agama di dunia seperti Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan-kesan dan akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Orang yang minum arak didapati apabila mabuk mudah melakukan kejahatan dan maksiat berterusan tanpa rasa bersalah di samping pelbagai masalah kesihatan yang dihadapinya.

Wadah juga berpandangan kegagalan dan kerosakan dalam masyarakat adalah berpunca daripada kesihatan mental apabila masyarakat terjerumus dengan arak dan budaya songsang. Apatahlagi apabila ianya menjadi sebaran secara terbuka.

Begitu juga menurut beberapa kajian kebanyakan kemalangan jalanraya adalah juga disumbangkan oleh pengaruh alkohol yang tinggi.

Justeru Wadah menggesa semua pihak termasuk pihak berkuasa terutama pihak polis dan PBT agar lebih prihatin terhadap perkara ini serta menghalang penganjuran kegiatan seperti Oktoberfest yang lebih mendatangkan kemudaratan daripada kemanfaatan. – HARAKAHDAILY 16/10/2018