Adakah Dewan Negara ‘rubber stamps’?

HARI ini dalam sejarah. Di awal persidangan hari pertama di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen Ke-14 pada 15 Oktober 2018, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memasyhurkan pemakluman Yang Dipertua Dewan Negara mengenai RUU yang telah diluluskan oleh Dewan Negara dan satu RUU tidak diluluskan iaitu RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018. Seingat penulis dalam tempoh 2 dekad, inilah kali pertama RUU tidak diluluskan oleh Dewan Negara, dan mungkin yang pertama juga dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Advertisement

Syabas kepada Dewan Negara, kerana ia menafikan dakwaan Dewan Negara sebagai rubber stamps yang sering dilontarkan oleh pihak pembangkang di masa lalu sama BA, PR dan PH khususnya beberapa ahli Parlimen seperti Ipoh Timur (Lim Kit Siang) dan Bukit Gelugor (Karpal Singh).

Diimbas kembali, RUU Cukai Jualan 2018, RUU Cukai Perkhidmatan dan RUU Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 Ogos 2018 di Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14. Dengan undian suara tanpa ada permintaan undi belah bahagian walaupun pihak pembangkang beria-ia membantah ketiga-tiga RUU semasa perbahasannya. Begitu juga di Dewan Negara, pada 20 )gos 2018, kesemua RUU tersebut juga diluluskan dengan undian suara kerana ahli-ahli Dewan Negara berpendapat ia adalah kehendak rakyat yang perlu dihormati.

Manakala RUU Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang dibantah dalam perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen Pembangkang juga diluluskan di Dewan Rakyat dengan undian suara pada 12 September 2018. Namun di Dewan Negara, RUU ini telah diputuskan melalui undian belah bahagian dan tidak diluluskan, iaitu bersetuju -21,tidak bersetuju – 28 dan tidak menundi – 3.

Ahli-ahli Dewan Negara berpendapat tidak ada sebab Akta Berita Tidak Benar 2018 yang diluluskan pada sidang terakhir Dewan Ngara sebelum PRU14 yang lalu dimansuhkan kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat. Tambahan pula, penulis berpendapat adalah sutu yang tidak masuk akal dan munasabah, jika akta ini diluluskan pemansuhannya di Dewan Negara, sedangkan ia diluluskan oleh Ahli-ahli Dewan Negara yang sama. Justeru itu, di sini ahli-ahli Dewan Negara telah menunjukkan kebijaksanaanya dan menafikan bahawa Dewan Negara sebagai rubber stamps.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Undang-Undang) [YB Sepang] telah memberi kenyataan bahawa beliau tidak faham mengapa gagal meyakinkan Senator-senator sedangkan telah memberi penjelasan sebaik mungkin. Beliau menyatakan kalah dengan angka kerana bilangan Senator BN melebihi Senator yang menyokong Kerajaan PH.

Suatu catatan jua. – HARAKAHDAILY 17/10/2018