Bantahan pemandu teksi

SYARIKAT perkhidmatan teksi terkemuka, Big Blue Taxi Facilities akan melancarkan piket bantahan besar-besaran di Kementerian Kewangan. Piket itu bertujuan untuk membantah sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, YB Tony Pua beberapa hari lalu yang mencadangkan agar perkhidmatan Grab digunakan bagi menggantikan bas pengantara di stesen-stesen MRT.

Advertisement

Cadangan tersebut menimbulkan kemarahan kepada syarikat dan pengusaha perkhidmatan teksi yang lain kerana disifatkan tidak adil.

Menurut Penasihat Big Blue Taxi Facilities Shamsubahrin Ismail, kerajaan lebih mempromosikan Grab sahaja tanpa mempertimbangkan syarikat perkhidmatan teksi dan e-hailing yang lain. Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap Kementerian Pengangkutan kerana gagal menguatkuasakan undang-undang terhadap Grab dan pemandunya.

Sebelum PRU Ke-14 yang lalu, banyak khabar angin yang mendakwa syarikat Grab dimiliki oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ia berunsur fitnah.

Pada bulan Julai tahun lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 2017. Ia sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama yang meregulasi perkhidmatan Grab, Uber dan lain-lain perkhidmatan pengangkutan berasaskan e-hailing di dunia. – HARAKAHDAILY 17/10/2018