Warta undang-undang singkir plumbum dalam cat

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf 21-27 Oktober 2018 sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) dan kebimbangan utamanya adalah pendedahan kepada plumbum melemahkan daya intelektual kanak-kanak. Pada tahun ini WHO menyeru kerajaan, ahli akademi, industri dan masyarakat umum agar membentuk undang-undang khusus bagi menyingkirkan plumbum dalam cat.

Advertisement

Menurut laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP), seawal 2016, 70 (36%) daripada 196 negara di seluruh dunia telah memperkenalkan piawaian berhubung plumbum dalam cat.

Namun di Malaysia, tidak ada peraturan yang menghadkan kandungan plumbum dalam cat untuk kegunaan isirumah dan sebagai hiasan.

Sejak 1992, CAP berkali-kali menggesa kerajaan supaya mewartakan undang-undang yang menghapuskan plumbum dalam cat. Dalam ujian yang dijalankan pada 1992, kami menemui 7 dari 9 cat enamel mengandungi plumbum melebihi 600 bahagian persejuta (bps). Paras tertinggi plumbum yang ditemui dalam ujian itu ialah 11,700 bps.

Pada 2016, CAP sekali lagi menggesa kerajaan supaya membentuk piawaian bagi kandungan plumbum dalam cat setelah kami mendapati lebih 60% daripada sampel yang diuji mengandungi paras plumbum yang terlalu tinggi. Dua tahun sudah berlalu namun kerajaan masih belum mewartakan undang-undang mengenai plumbum dalam cat.

Dalam kajian terdahulu mengenai kandungan plumbum dalam cat di Malaysia antara 2004-2007, 72 cat enamel diuji bagi jumlah plumbum di dalamnya. Hasil kajian ini juga menunjukkan kandungan plumbum yang tinggi.

WHO menggelar cat berplumbum sebagai “a major flashpoint” bagi potensi keracunan plumbum dalam kanak-kanak dan berkata bahawa “sejak petrol berplumbum dikeluarkan secara berperingkat, plumbum dalam cat merupakan salah satu sumber terbesar pendedahan plumbum kepada kanak-kanak.”

Kanak-kanak terdedah kepada plumbum apabila bahagian permukaan yang bercat mengelupas selepas beberapa lama. Plumbum juga dibebaskan ke udara menjadi debu cat dan plumbum dalam tanah yang menjejaskan alam sekitar. Kanak-kanak, sehingga yang berusia 6 tahun, yang kerap memasukkan tangan ke dalam mulut paling berisiko. Kepintaran dan perkembangan mental mereka mungkin terjejas apabila terdedah kepada debu dan tanah berplumbum.

Plumbum merupakan bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh. Ia khususnya boleh membahayakan kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang terdedah kepadanya. Kesan-kesan pendedahan kepada plumbum termasuklah masalah pembelajaran, enggan bergaul dengan orang lain, penurunan kadar kesuburan dan peningkatan risiko kegagalan ginjal dan masalah kardiovaskular di kemudian hari.

Sehingga kini tidak ada paras yang selamat bagi pendedahan kepada plumbum. Plumbum merupakan penyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar yang membabitkan kira-kira seperempat bebanan penyakit di seluruh dunia.

Kesan plumbum terhadap kesihatan turut menjejaskan ekonomi negara. Kajian terbaharu mendapati pendedahan sewaktu kecil kepada plumbum memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kajian itu mengaitkan penurunan IQ dengan penurunan dalam produktiviti ekonomi sepanjang hayat. Adalah dianggarkan bahawa kerugian tahunan dari sudut ekonomi di Malaysia ialah RM11.8 bilion atau 2.63% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu, program Alam Sekitar PBB menyeru semua negara, sektor dan ‘stakeholder’ agar bekerjasama demi mencapai legasi positif menerusi penyingkiran cat plumbum secara berperingkat.

Kesan pendedahan plumbum kepada kesihatan kanak-kanak adalah berpanjangan, sukar dipulihkan dan sukar untuk diubati. Plumbum masuk ke dalam gastrousus kanak-kanak apabila kanak-kanak mengunyah benda-benda seperti alat mainan, perabot atau benda lain yang dicat dengan cat berplumbum. Penggunaan cat berplumbum secara berterusan menjadi penyumbang utama pendedahan plumbum sewaktu kecil. Langkah-langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan sumber-sumber pendedahan plumbum kepada kanak-kanak.

Berikutan bahaya yang didedahkan oleh plumbum, CAP menggesa pihak berkuasa agar:

· membentuk undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat.

· mengharamkan plumbum dalam produk

· menguji dan mengharamkan produk yang mengandungi plumbum pada paras yang tinggi

· menjalankan kempen pendidikan untuk melahirkan kesedaran mengenai bahaya plumbum.

Tanpa pengharaman, Malaysia akan menjadi tempat longgokan produk dengan paras plumbum yang tinggi yang hakikatnya telah ditolak oleh negara-negara lain.

Memandangkan plumbum boleh meninggalkan kesan yang buruk kepada kanak-kanak, langkah segera perlu diambil demi kesihatan generasi masa depan. – HARAKAHDAILY 18/10/2018

Penulis ialah Presiden CAP.