Almarhum Pak Ali, wira yang tidak dikenali

MULA mengenali susuk tubuh ini sejak zaman Almarhum Dato’ Ustaz Fadhil Noor menjadi Presiden PAS. Beliau sudah menyarung baju seragam AMAL ketika itu. Bertugas tidak kira siang malam. Di mana sahaja ada program PAS yang besar khususnya di Utara, beliau hadir bertugas.

Advertisement

Datang bertugas dengan motosikal Modenas Kriss (kalau tidak salah). Di dalam raga motosikal, ada kain pelekat, ada botol air, baju hujan warna kuning dan lampu suluh. Kadang-kadang ada nasi bungkus. Lengkap dan bersedia untuk menerima arahan bertugas.

Banyak kali dilihat beliau bermalam di tempat program kerana menyelesaikan tugas sehingga akhir. Pernah juga beliau bergegas bersiap hendak balik ke rumah walaupun sudah lewat malam lepas bertugas, kami cadangkan beliau bermalam sahaja di markaz (tempat program) kerana jauh jaraknya dengan rumah beliau. Spontan beliau jawab, “Tak boleh, pagi esok saya kena hantaq anak, ada urusan”. Tanggungjawabnya sebagai ayah tidak pernah dimungkiri.

Berdiri di tengah panas, berhujan basah kuyup tidak pernah menggoyang semangatnya untuk bertugas. Kota Bharu, Johor Bharu, ada sahaja kelihatan susuk tubuh ini bertugas.

Daripada saiz tubuh yang agak gempal sehinggalah kurus (kerana sakit), beliau masih gagah berdiri mengawal lalu lintas program-program PAS. Tangannya sentiasa diangkat ke sana ke mari dengan sarung tangan putih sambil mulut meniup wisel hijau, memandu arah pengguna jalan raya supaya trafik lancar.

Dalam ramai-ramai anggota AMAL yang ada, uniform beliau antara yang kelihatan lusuh dan agak pudar warnanya, menunjukkan acap kali dipakai. Wajahnya sentiasa tenang, gerak gerinya sentiasa cergas bertenaga, seolah-olah bangga menyarungkan uniform AMAL, puas hati dapat bertugas, puas hati dapat beramal kerana Allah!

Pernah ketika bersalaman dengan beliau, sempat saya menegur sapa, “Pak Ali, awat nampak seghoh (susut) sikit ini? Sakit ke?”

“Biasalah ustaz, dah berumur macam ini, Allah ambik sikit-sikit hak Dia bagi dulu. Tapi kut mana pun, bila ada tugas, kena mai. Yang ini ja yang boleh buat, yang lain tak pandai,” jawab Pak Ali dengan penuh jujur, lancar dan yakin. Tangannya masih menggenggam salam yang dihulur tadi, matanya tepat memandang saya tak beralih. Hebat manusia ini. Kagum dengan kegigihan beliau.

Hari ini Jumaat 10 Safar 1440H bersamaan 19 Oktober 2018, Pak Ali pergi mengadap Ilahi, mengotakan janjinya sejak azali, berbudi berbakti pada perjuangan suci. Pak Ali, berbahagialah dirimu di sana. Kami pasti akan menyusulimu suatu hari nanti.

Al-Fatihah.

Nukilan,
AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN 
10 Safar 1440H, Permatang Pauh – HARAKAHDAILY 19/10/2018