Petunjuk ekonomi separuh penggal RMK11

PEMBENTANGAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-Sebelas 2016-2020 semalam memberikan gambaran awal pertumbuhan ekonomi yang sederhana. Tiada perubahan struktural yang besar melainkan perubahan unjuran makro ekonomi yang signifikan. Segelintir pakar ekonomi menganggap revisi RMK11 lebih pragmatik dan realistik dengan cabaran ekonomi semasa. Walau bagaimanapun, pelaksanaan perancangan tetap menjadi penekanan utama.

Advertisement

Terdapat beberapa petunjuk ekonomi yang terpilih untuk difokuskan;

1. Unjuran pertumbuhan KDNK telah dikurangkan kepada 4.5%-5.5% pada tahun 2020 berbanding sasaran awal 5%-6%. Penggunaan swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan yang dijangka akan menyumbang sehingga 56.9% (purata pertumbuhan 7%) daripada KDNK pada tahun 2020. Bagi pelaburan swasta, Kerajaan Persekutuan mensasarkan purata pertumbuhan yang lebih perlahan sekitar 6.1% berbanding sasaran awal 9.4%. Walau bagaimanapun, kerajaan akan memastikan pelaburan yang berkualiti khususnya daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kerajaan mengurangkan siling perbelanjaan untuk pembangunan sebanyak RM40 bilion (15%) kepada RM220 bilion daripada peruntukan awal sebanyak RM260 bilion.

2. Bagi sektor luaran, purata pertumbuhan eksport dijangka lebih tinggi mencecah 7.5% berbanding unjuran awal pada 4.6%. Maka, ia turut akan mempengaruhi unjuran lebihan imbangan dagangan sehingga menjangkau kepada RM118.3 bilion berbanding unjuran awal RM57.3 bilion. Persekitaran ekonomi global yang tidak menentu belum memberikan kesan ketara kepada sektor luaran negara. Malaysia komited kepada prinsip pengecualian dalam perang dagang kuasa ekonomi dunia dan mahu melonjakkan kerjasama ekonomi yang mampan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

3. Kerajaan Persekutuan telah memulakan beberapa perubahan polisi fiskal sejak pertengahan tahun 2018. Perbelanjaan mengurus sahaja telah menelan 98.9% (RM427.9 bilion) daripada hasil sepanjang 2016 hingga 2017. Sementara itu, Kerajaan Persekutuan juga berhasrat akan memperkenalkan cukai digital (cukai tidak langsung) ke atas transaksi perniagaan e-dagang. Sumbangan daripada hasil bukan cukai dan cukai tidak langsung juga turut akan dinaikkan. Selain itu, sasaran bajet berimbang pada tahun 2020 tidak lagi menjadi sasaran kerajaan sebaliknya meletakkan unjuran baru sama seperti tahun 2017 iaitu 3% daripada KDNK.

4. Bagi ekonomi rakyat, pendapatan per kapita (harga semasa) diunjurkan menurun daripada unjuran asal iaitu RM47,720 berbanding RM54,100. Indeks Pekali Gini masih lagi tinggi iaitu pada paras 0.385 berbanding sekarang 0.399. Kondisi agak membimbangkan bagi kadar pengangguran yang diunjurkan lebih tinggi iaitu kurang 3.5% berbanding unjuran asal 2.8%. Beberapa program khas untuk mensejahterakan rakyat khususnya golongan B40 telah dirangka antaranya skim pembiayaan kesihatan, pembinaan 200,000 rumah mampu milik dan sejumlah 4,000 projek-projek yang melibatkan kepentingan rakyat akan dilaksanakan. Khas untuk bumiputera, Kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan penyertaan dalam pelaburan strategik negara bagi mencapai sekurang-kurangnya 30% pemilikan ekuiti korporat.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan telah melanjutkan sasaran negara untuk mencapai status negara maju sehingga 2024. Sementara itu, beberapa agenda reformasi politik dan pentadbiran juga telah ditetapkan antaranya tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dihadkan selama dua tahun sahaja, menstruktur semula perjalanan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan merendahkan had umur kelayakan pengundi kepada 18 tahun. Bagi mengukuhkan integriti dan ketelusan, kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya IPCMC dan ombudsman. Semuanya termasuk SPR dan SPRM akan dipertanggungjawabkan kepada Parlimen. – HARAKAHDAILY 19/10/2018