Golongan 2 bilion dan 970 di Malaysia

BERDASARKAN Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, bilangan isi rumah di Malaysia meningkat daripada 6.7 juta (2014) kepada 6.9 juta (2016). Isi rumah merujuk kepada kombinasi pendapatan kasar individu (15 tahun dan ke atas) yang menetap bersama dalam sebuah rumah. Di Malaysia, purata saiz isi rumah adalah empat orang dan dua orang daripadanya mempunyai pendapatan.

Advertisement

Terdapat empat punca pendapatan isi rumah. Pekerjaan bergaji (63 peratus), bekerja sendiri (15.6 peratus), hasil daripada harta dan pelaburan (12.9 peratus) serta pindahan semasa (8.5 peratus).

Purata pendapatan isi rumah telah meningkat sebanyak 6.2 peratus iaitu RM6,141 (2016) berbanding RM6,958 (2014) sebulan. Purata penengah dalam tempoh yang sama meningkat 6.6 peratus kepada RM5,228.

Di Malaysia, isi rumah dikategorikan kepada tiga kumpulan berasaskan pendapatan. Pertama, kumpulan 20 peratus tertinggi (T20). Kedua, kumpulan 40 peratus pertengahan (M40) dan ketiga, kumpulan 40 peratus terendah (B40).

Pada tahun 2016, purata pendapatan isi rumah B40 ialah RM2,848, M40 ialah RM6,502 dan T20 pula ialah RM16,088. Paras Garis Kemiskinan nasional pula berbeza mengikut geografi.

Bagi kawasan di Semenanjung Malaysia, kategori miskin di kawasan bandar ialah mereka yang mempunyai pendapatan bulanan RM970 ke bawah manakala di kawasan luar bandar pula ialah RM880.

Di Sarawak, mereka yang memperolehi pendapatan bulanan RM1,070 di kawasan bandar dan RM940 di kawasan luar bandar. Sabah dan Labuan mencatatkan paras yang lebih tinggi iaitu RM1,170 di kawasan bandar dan RM1,220 di kawasan luar bandar. Secara keseluruhannya, kadar kemiskinan di Malaysia berada pada paras 0.4 peratus.

Oleh itu, sekiranya kita menilai purata pendapatan isi rumah T20 dan B40 atau mereka yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan, maka didapati terdapat jurang yang sangat luas. Seolah-olah kita melihat sebuah keluarga yang tinggal di rumah flat dua bilik berkeluasan 660 kaki persegi berharga RM200,000 manakala sebuah keluarga lagi mendiami sebuah ‘penthouse’ empat bilik yang berkeluasan 3,500 kaki persegi berharga RM1.5 juta dan kehidupan mereka hanya dipisahkan dengan sebatang jalan.

Bagaimana pula dengan data yang dilaporkan oleh Credit Suisse Global Wealth 2018 yang mendedahkan terdapat 487 individu di Malaysia mempunyai nilai aset sekurang-kurangnya RM207.9 juta sehingga RM2.079 bilion? Seramai 184 orang dalam kalangan mereka mempunyai nilai aset minimum bernilai RM415 juta.

Lebih dahsyat lagi, seramai 33 orang pula mempunyai nilai aset berjumlah RM2 bilion. Andainya kelompok ‘super’ kaya ini menyumbang 2.5 peratus kepada Tabung Harapan Negara, maka jumlahnya adalah RM50 juta.

Jurang kekayaan golongan kaya dan miskin adalah topik utama perbincangan di peringkat global dan Malaysia. Kek ekonomi negara sebahagian besarnya dilahap oleh golongan kaya dan ‘super’ kaya.

Bagi mengukur kondisi ini, kerajaan menggunakan Pekali Gini atau juga disebut sebagai Indeks Gini. Satu indikator untuk mengukur ketidakseimbangan pendapatan. Kadar 0 mewakili persamaan mutlak dan kadar 1 mewakili ketidakseimbangan mutlak.

Sejak tahun 2007, Pekali Gini di Malaysia ialah 0.441. Kemudian menurun kepada 0.401 pada tahun 2014 dan terus menurun kepada 0.399 pada tahun 2016. Walaupun ia menunjukkan ‘downtrend’, namun ia masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Persoalannya, bagaimana kerajaan mahu memastikan golongan majoriti di negara ini menikmati kehidupan yang lebih baik, pendapatan yang lebih stabil, makanan yang lebih berkualiti dan rumah yang lebih selesa? – HARAKAHDAILY 23/10/2018