Siasat segera insiden tanah runtuh

KUALA LUMPUR: PAS mendesak siasatan segera berhubung insiden tanah runtuh projek lebuh raya di Bukit Kukus, PayaTerubong, Pulau Pinang yang mengorbankan lapan nyawa hingga setakat hari ini.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, siasatan terperinci itu harus mengambil kira pemberian tender pelaksanaan projek bagi mengenal pasti tidak wujud unsur penyelewengan.

Memetik kenyataan beliau menerusi akaun Facebooknya, beliau menzahirkan rasa sedih atas kejadian tanah runtuh yang melibatkan sejumlah sembilan mangsa hingga setakat ini, lapan daripadanya terkorban satu sedang dirawat di hospital.

“Tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Pulau Pinang amat menyedihkan. Projek dijalankan tanpa menghiraukan aspek keselamatan dan alam sekitar demi mengaut keuntungan.

“Siasatan terperinci perlu diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari sudut pemberian tender dan perlaksanaan projek supaya tidak wujud sebarang unsur penyelewengan,” tulisnya di laman Facebook miliknya petang tadi.

Sementara itu, dilaporkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang mendedahkan berhubung penemuan aliran air di tapak projek berkenaan baru-baru ini.

Jelasnya, beliau yang turun ke tapak projek 20 Oktober lalu mendapati satu punca air telah ditutup tanpa mengambil kira kerja pengalihan yang perlu dilakukan.

Beliau mengesyaki kemungkinan itu adalah punca utama yang menyebabkan kejadian tanah runtuh berlaku.

Justeru itu, Tung Seang menggesa perunding projek dan kontraktor jalan raya mengemukakan laporan berhubung perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 22/10/2018