Bukti DNA PH dan BN sama

DALAM sains, DNA adalah salah satu tanda yang melaluinya, boleh kita kenal pasti banyak perkara di dalam kejadian sesuatu. Ia menyimpan banyak hal yang penting bagi sesuatu makhluk atau benda itu. DNA paling penting adalah bagi mengetahui asal kejadian atau keturunan sesuatu makhluk itu. Tetapi kadangkala, kita tidak perlu pergi sehingga terlalu kompleks bagi mengetahui asal usul sesuatu itu. Antara contohnya ialah cukup kita tahu mereka adalah anak-beranak yang sah, itu juga boleh menjadi bukti asas, DNA mereka adalah sama.

Advertisement

PH sebenarnya adalah produk keluaran BN. Walaupun tidak semua komponen atau cenderung menyokong PH itu asalnya BN, tetapi majoriti mereka, ya. Bersatu, PKR, Warisan, PBB semua itu adalah datang dari BN. Manakala PKR pula ialah sepupu sebelah ayah, menunjukkan kekuatan darah keturunan mereka. DAP pula, walaupun berbalah suam tahi ayam dengan MCA, tetapi apabila ada isu besar melibatkan bangsa Cina, mereka memenuhi ciri-ciri pepatah, air dicincang takkan putus. Begitulah kelihatannya.

Tidak cukup dengan perwarisan dari segi keturunan ini, DNA yang sama juga boleh dilihat dalam perwatakan masing-masing. Mereka sama-sama mempunyai perangai menipu. Ada yang berjaya menjadi penipu tersohor, ada juga yang hanya menjadi penipu di peringkat bawahan. Mereka juga mempunyai ciri-ciri sama dalam mendendami musuh mereka, terutama yang mereka anggap musuh itu, membawa ajaran Islam. Mereka akan menzalimi pembawa obor Islam ini dengan semaksima mungkin. Mereka juga sama-sama tidak berapa kisah dengan agama seperti contoh kedua-duanya meluluskan lesen judi.

Mereka menipu rakyat dalam terlalu banyak perkara. Antaranya yang paling jelas ialah manifesto PRU. Dulu pada PRU13, BN janji macam-macam tetapi tidak banyak pun yang ditunaikan. Maka PH marah, ajak rakyat bangkit jatuhkan BN. BN berjaya dijatuhkan, tetapi PH lebih teruk menipu. Bukan sahaja menipu, tetapi sanggup juga mengatakan janji bukan wajib ditunaikan. Menipu dan terus menipu.

Kini, PH kembali membawakan suara atau gaya pemerintahan BN dahulu. Royalti petroleum di Terengganu dan Kelantan, cuba disekat oleh Kerajaan Pusat yang dikuasai PH. Masing-masing menolak bola royalti ini. Paling akhir dikesan, bola itu berada di kaki Menteri Kewangan. Beliau sepertinya mahu menyembunyikan bola itu. Habis lenyap segala integriti dahulu yang mencemuh BN kerana tidak membayar royalti kepada Kerajaan Negeri. Kegagalan menangani isu ini dengan baik, akan menjadikan keadaan hubungan Negeri dan Pusat, tidak menjadi baik. Ini berlawanan dengan semangat federalisma yang didirikan atas asas negeri-negeri dalam Tanah Melayu, bersatu membentuk Malaysia. Hak yang termaktub ke atas negeri dalam Perlembagaan tidak mahu dihormati. Tetapi cukai dari negeri, tetap dikutip. Persis perangai BN dahulu, tiada bezanya.

Terengganu teruk terkena pada tahun 2000 dahulu. Sekarang, cekikan Pusat bertukar tangan, tetapi dijangka lebih sakit lagi. Teringat baru-baru ini, kepada pesanan Dato’ Wan Mutalib Embong, bekas Exco Terengganu 1999-2004, jangan percaya mereka mahu masukkan wang royalti, sehingga benar-benar masuk dalam akaun. Ia seperti kuat kebenaran ini. Tiada suara dalam PH yang menentang cubaan sekatan ini walaupun wajah-wajah penentang sekatan royalti oleh BN suatu ketika dahulu, telah menjadi orang besar PH. Tidakkah ini menyamai perangai BN? Ramai antara mereka ketika dahulu adalah pejuang rakyat marhaen, ketua pelajar yang berdemo sebelum menyertai BN. Selepas mendapat tilam empuk, wang bertimbun dalam BN, maka mulut mereka terkatup dari membicarakan apa yang mereka sebut dahulunya sebagai ‘hak’ rakyat.

Masalah royalti ini sudah difahami oleh semua pihak. Penandatangan dan insan yang draf perjanjian itu ada yang masih hidup. Jika ia tidak betul, kenapa apabila dibawakan kes itu ke mahkamah oleh negeri, ianya mempunyai merit untuk dibicarakan? Kenapa perlu ditukar nama kepada macam-macam selain daripada ‘royalti’? Kenapa juga perlu dipinda Akta Laut yang turut ditentang oleh sebahagian komponen PH dahulu untuk menafsirkan semula jarak laut dari pantai negeri-negeri? 

Politik Machiavelli menjadi buku panduan mereka. Keadilan Islam? Persetankan. Mati ceritanya lain, hidup lain pula kisahnya. Politik suku, agama suku, kembali menguasai pakatan mereka. Sesuatu yang dihidupkan kembali. Amat malang ia tidak ditentang oleh mereka yang mengaku Islamis di dalam gabungan mereka. DNA mengejar gelaran dan pangkat juga mengesahkan mereka dari leluhur yang sama. Baru lima bulan berkhidmat, entah apa kejayaan, pencapaian atau sumbangan, ada yang nun jauh melintang Semenanjung, dari hujung Timur, datang dia ke negeri Antah Berantah menundukkan kepala kepada sosok yang pernah dihina kerana tuduhan skandal dahulu bagi menerima anugerah. Anugerah apa? Untuk jasa apa? Tidak dilakukan orang sebelum ini, kecuali dari kalangan bani BN.

Terkini, tuduhan terhadap Kerajaan Kelantan yang tidak mampu membayar gaji kakitangan negeri. Fitnah jahat yang dengan selambanya dilemparkan oleh seorang Menteri yang sekarang jelas menunjukkan taring kebenciannya terhadap Negeri Melayu Islam ini. Tiada permohonan maaf dibuat atas tuduhan itu sambil beliau membangkitkan nama DNA-nya, BN yang juga pernah menuduh hal yang serupa kepada Kelantan melalui DS Najib. Apa yang BN kata mestikah benar? Atau itu hanyalah perangai jahat yang diwarisi dari BN? Bagaikan Pak Pandir memujuk Mak Andeh, bukan Andeh sahaja yang mati anak. Perlukah menjadi pembohong untuk menjawat jawatan tertinggi Negara Malaysia? Dari pemerhatian saya, ia perlu. Mereka sama, DNA yang datang dari sulbi yang sama. Sulbi Sekular. Cuma BN kini agak kendur kerana kalah. Maka BN menjadi mudharat ringan. 

MOHD NASIR ABDULLAH 
23 Oktober 2018
Al-Khor, Qatar – HARAKAHDAILY 23/10/2018