Kelantan mampu bayar gaji, kata Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi fakta yang jelas mengenai kemampuan Kerajaan Kelantan untuk membayar gaji kepada kakitangannya.

Advertisement

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu Kelantan mempunyai kemampuan bagi menunaikan tanggungjawab itu walaupun beliau tidak dapat memberi maklumat yang jelas.

“Kerajaan Kelantan ada kemampuan untuk membayar gaji kepada kakitangannya, tetapi saya tidak dapat jelaskan faktanya yang sebenar kerana saya tidak ingat.

“Tetapi Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan yang sebenar kerana semua fakta mengenai perkara ini berada di bawah tanggungjawab beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang mencelah pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, pagi tadi.

Awang meminta agar Najib menjelaskan perkara sebenar terhadap tuduhan Lim Guan Eng yang mempertikaikan kemampuan Kelantan membayar gaji kakitangannya apatah lagi melaksanakan projek mega.

“Kita minta Pekan selaku bekas Perdana Menteri memberi penjelasan terhadap tuduhan Menteri yang mendakwa Kelantan gagal membayar gaji kepada kakitangannya.

“Berapa kali Kelantan minta duit dari kerajaan lalu, Barisan Nasional (BN), tidak termasuk ‘allocation grant’ kerana semua negeri dapat geran ini,” katanya.

Isu tersebut timbul apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan, semalam mencadangkan kepada kerajaan agar negeri di Pantai Timur melakukan sendiri projek ECRL.

Beliau meminta pandangan kerajaan jika projek tersebut yang kini dihentikan sementara perundingan atau pending negotiation dilaksanakan oleh ketiga-tiga kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 23/10/2018